Kisah teladan-MIMPI SEORANG NABI
Abu Laith as-Samarqandi adalah seorang ahli feqah yang terkenal. Beliau pernah mendengar satu cerita daripada ayahnya tentang mimpi yang dialami oleh seorang nabi. Mimpi seorang nabi adalah wahyu Allah kepada nabi terbabit.
Dalam tidurnya nabi itu bermimpi menerima perintah : “Esok egkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke sebelah barat. Engkau dikehendaki berbuat : pertama, apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah. Kedua, engkau sembunyikan. Ketiga, engkau terimalah. Keempat, jangan engkau putuskan harapan dan kelima, larilah engkau daripadanya”.
Pada keesokan harinya, nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke sebelah barat, seperti mana yang diarahkan. Kebetulan perkara pertama yang dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Sambil kebingungan beliau berkata “Aku perintahkan memakan benda yang pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan”. Nabi itu meneruskan perjalanan mendekati bukit itu. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebuku roti. Maka nabi itu pun mengambil dan memakannya. Bila ditelan rasanya sungguh manis bagaikan madu. Kemudian dia meneruskan perjalanan dan bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan. Lantas nabi itu pun enggali sebuah lubang lalu ditanam mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali brturut-turut. Maka nabi itu berkata : ‘aku telah melaksanakan perintahmu’. Lalu nabi itu pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika meneruskan perjalanan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengar burung kecil itu berkata : ‘Wahai nabi Allah, tolonglah aku. ‘mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan memasukkan ke dalam bajunya. Melihat keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri nabi itu sambil berkata : ‘wahai nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dan rezekiku’.
Nabi itu teringatkan pesanan dalam mimpinya iaitu tidak boleh putuskan harapan. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pahanya dan memberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan terbang bebas. Perjalanan diteruskan lagi. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk. Maka nabi itu terus lari meninggalkannya kerana tidak tahan bau busuknya.
Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka nabi itu pun kembali ke rumahnya. Pada malam itu dia berdoa : ‘Ya Allah, aku telah melaksanankan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu dalam mimpiku. Maka jelaskanlah erti semuanya itu’.
Dalam mimpinya kali ini beliau telah diperjelaskan setiap perkara tentang pengalaman yang dilaluinya oleh Allah Ta’ala. ‘Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit, tetapi pada akhirnya jika besabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua, semua amal kebaikan (budi) walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga, jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianatinya. Keempat, jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuk membantunya meskipun engkau sendiri berhajat. Kelima, bau busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang), maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah’.
Yakinlah setiap suruhan Allah ada hikmahnya kepada manusia. Begitu juga setiap tegahan-Nya ada rahsia tersendiri. Lakukanlah segala suruhan-Nya dan tinggalkan segala larangan-Nya dengan hati yang ikhlas demi mengharapkan keredhaan daripada-Nya. Pasti di sana nanti akan terserlah sagala kebaikannya.
Mazhab (Sosiologi) Pendidikan: Punca Kita Sukar Sependapat
-
Pendahuluan Mengapa perbincangan tentang pendidikan sering kali menimbulkan
perbezaan pendapat? Sudah tentu, ini bermula daripada perbezaan di antara
penda...
2 hari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan