Isnin, 3 November 2008

Nilai Seorang Anak


Semalam merupakan hari pertama saya membuat praktikal di hospital. Di Rusia, untuk tahun kedua perubatan, disebabkan masih tidak banyak yang dipelajari, maka sukatan untuk praktikal adalah membuat kerja-kerja yang berkaitan dengan kejururawatan. Semua rakan-rakan telah pulang ke Malaysia menikmati cuti indah bersama keluarga, hanya saya yang gatal kaki untuk cuba mencari pengalaman di sini.Sepanjang satu hari semalam, hanya satu yang mahu dikongsi. Ceritanya begini.Jururawat memanggil kami (saya dan seorang lagi pelajar), untuk membantunya membersihkan badan-badan pesakit. Ketika sudah selesai dua tiga orang pesakit, kami mendekati seorang tua, yang berselimut. Ketika kami sampai, di bilik tersebut ada 4 orang pesakit yang lain turut menempati bersama di bilik tersebut.Jururawat itu, menarik kain selimut yang menyelimuti badan pakcik tua ini, dan dengan itu jugalah, keluar bauan yang sungguh memedihkan hidung. Kami dapati, katil pakcik ini penuh dengan najis (tahi). Hanya Allah yang tahu bau dia macam mana. Ketika ini, dua orang pesakit keluar dari bilik ini untuk duduk di luar, tidak tahan bau yang dihasilkan. Jururawat meminta pakcik ini untuk turun dari katil, dan digagahi oleh seorang pelajar lagi. Saya tidak berani mendekati, hanya memerhati apa yang dilakukan.Kerja-kerja pembersihan dilakukan, ketika sedang berdiri ini, pakcik tua ini, yang kakinya tidak gagah untuk berdiri, yang ditongkat oleh pelajar, telah membuang air besar di situ juga. Kami yang ada di situ hanya pasrah. Saya hanya membantu menarik kain-kain tilam dari katil. Jururawat menunggu sehingga pakcik ini selesai membuang hajatnya.Jururawat memberitahu, bahawa pakcik ini selama dia sakit, tiada siapa yang menziarahinya. Dalam hati kecil, kesedihan membungkam jiwa saya. Jururawat ini, mula mengelap bahagian badan pakcik ini, pakcik ini megadu letih berdiri. Kemudian, kami menarik cadar dari tilam dan menggantikannya dengan yang baru. Badan pakcik tua itu, dibersihkan sebelum dia dibenarkan baring kembali.Selesai itu, lantai dibersihkan dari najis yang dibuang oleh pakcik ini. Setelah segalanya selesai, pakcik tua diberikan baju untuk dipakai semula.Setelah selesai semua sekali, kami beredar dari bilik tersebut. Saya mengambil tempat di bilik rehat. Hati betul-betul terasa. Merasakan bahwa begitu berharganya seorang anak apabila ibubapa sudah sampai di usia seperti pakcik itu.Ketika menulis ini, tidak tahu bagaimana mahu mengungkap perasaan ketika itu. Dalam hati hanya berdoa:

“Ya Allah, kau matikanlah daku sebelum sempat aku menderhaka kepada kedua ibu bapaku, dan jika kau anugerahiku isteri dan zuriat, kau matikanlah daku sebelum sempat mereka derhaka kepadaku.”

Balik petang itu dengan seribu satu perasaan gelisah. Gelisah jika diri berada di situasi anak-anak pakcik itu, tidak bersabar malah meninggalkan ibubapa di rumah pesakit. Gelisah jika anugerah isteri dan anak-anak, jadi seperti pakcik itu. Mudah-mudahan diri ini dijauhkan dari segala yang pakcik itu hadapi.


Arzalil ‘umur (surah al-hajj:5) - waktu di mana seseorang sudah hilang kewarasan akal, seperti mana seorang bayi kecil. Di waktu ini, semua ciri-ciri budak kecil ada pada lelaki berumur. Kebersihan dirinya, semuanya bergantung apda orang lain untuk menguruskannya.Moga-moga diriku dijauhkan dari tahap waktu umur ini.


from:

Volgina Street, Konkova,117437,Moscow.

Ahad, 2 November 2008

Jerawat oh Jerawat..

Bagi sesiapa yang ada jerawat, boleh cuba amalkan petua-petua di bawah. Semoga bermanfaat. Editor pernah mengamalkan petua 2 hasil nasihat ibunya. InsyaAllah berkesan. Namun andai ada sahabat doktor atau pelajar perubatan atau sesiapa sahaja yang ingin kongsikan ilmu mereka berkenaan petua ini, dipersilakan.
Petua 1
Campurkan air limau nipis dengan satu sudu minyak masak. Sebelum tidur , sapukan campuran tadi ke seluruh muka anda. Sekiranya anda merasa pedih , itu hanya sementara . Esoknya , ambil beberapa keping asam gelugur (asam keping) dan rendam dalam air panas . Setelah sejuk atau suam , basuhlah muka anda dengan air itu . Ambil asam dan gosokkan ke seluruh muka anda . Kuatkan gosokan anda pada tempat -tempat yang berparut. Bairkan beberapa minit , kemudian basuh dengan air biasa. InsyaAllah , muka anda akan menjadi licin dan bersih.
Petua 2
Campurkan beberapa sudu tepung ubi kayu dengan air asam jawa . Kemudian sapukan ke muka anda . Amalkan setiap masa seperti anda menggunakan bedak sejuk . InsyaAllah , muka anda akan bertambah cerah dan lembut serta tidak berjerawat lagi.
Petua 3
Giling beras dan daun ini sehingga lumat. Bulatkan adunan tersebut sebesar duit lima sen dan jemur sehingga kering . Apabila hendak menggunakannya , titis sedikit air limau nipis dan sapu pada muka menggunakan belahan ubi kentang .
Petua 4
Ambil 3 jenis akar kayu iaitu akar bunga melur , akar bunga cina dan akar kitam guri serta seketul kemenyan . Jika sukar mendapatkan ketiga-tiga akar ini , memadailah dengan dua jenis sahaja . Semua akar ini diasah di buntut pasu dengan sedikit air . Sapukan ke muka sebagai bedak sejuk . Jika anda suka , boleh juga dicampurkan dengan bedak sejuk atau dengan lendir daun lidah buaya . Selain diasah , ia boleh juga dikeringkan kesemua akar itu dan dikisar bersama kemenyan tadi .
Petua 5
Parut temu lawak mengikut keperluan , kemudian campurkan dengan sedikit gula melaka . Ambil 3/4 suku gelas air masak dan campurkan dengan sedikit asam jawa dan 3 biji bawang merah yang ditumbuk lumat . Bancuh kesemua bahan tadi sehingga sebati , kemudian tapis . Minumlah airnya beberap kali , kemudian barulah dirawat kulit muka anda dengan petua lain yang telah diberikan .
Petua 6
Ambil sedikit asam jawa dan beberapa inci kunyit hidup . Tumbuk kunyit itu dan campurkan dengan asam jawa dan sedikit air . Setelah campuran itu sebati , sapu ratakan ke seluruh muka anda . Biarkan kira-kira 20 minit . Kemudian ketika anda mandi , basuhlah dengan bersih . Jika selalu diamalkan , muka anda akan sukar ditumbuhi jerawat dan kulit menjadi lebih halus .
Petua 7
Parut jagung muda dan sapukan ke muka anda . Biarkan beberapa minit kemudian basuh hingga bersih . Selepas itu , sapukan lagi muka dengan jagung muda tadi . Kali ini biarkan hingga ke hari esoknya .
Petua 8
Basuh muka dengan air suam , kemudian gosoklah muka dengan tomato masak . Biarkan ia kering sendiri . Selepas itu bilas muka anda dengan air suam .
Petua 9
Ambil air didihan nasi yang pekat dan sapukan ke seluruh muka . Biarkan kering dan jangan menggerak-gerakkan muka . Apabila kering , bilas dengan air bersih atau jika ingin cepat berkesan , bilas dengan air suam . Jika diamalkan setiap hari selama 2 minggu berturut-turut , anda akan lihat kesannya. Kulit muka anda akan bertambah bersih dan lembut .
Petua 10
Giling sedikit ibu kunyit , daun pegaga , pucuk daun asam jawa , beberapa kelopak bunga mawar dan sedikit beras yang sudah direndam selama dua malam . Apabila halus , bulat-bulatkan dan jemur sehingga kering . Jika hendak digunakan , hancurkan dengan air dan sapu ke muka sebelum tidur supaya liang roma kulit muka tidak ditutupi sebarang lapisan .
Petua 11
Tumbuk lumat rumput gelang sambal yang dibersihkan dengan air hujan dan dicampurkan dengan tepung beras sehingga sebati serta keringkan . Ia boleh dibuat bedak . Bersihkan kulit muka sebelum memakai bedak ini . Buat begini setiap pagi dan malam . Kesannya tentu memuaskan hati anda . Insya-Allah .
Petua 12
Amalkan memakai bedak sejuk dicampurkan dengan daun bunga tanjung yang ditumbuk lumat bersama sedikit kapur . Kacau semua bahan ini sehingga sebati kemudian sapukan ke muka setiap malam sebelum tidur . Jika selalu diamalkan jerawat akan kering dan pupus .
Petua 13
Ambil segenggam pucuk jambu batu dan uparkan (seperti menggulung) di tapak tangan . Selepas itu , gosokkan ke muka hingga ke leher . Biarkan beberapa minit supaya kering di muka . Kemudian basuhlah dengan air sejuk dan bolehlah anda mandi (jika mahu) .
Petua 14
Jerawat sering menimbulkan banyak masalah kulit terutama pada kulit muka. Jeragat pula kalau tak dijaga boleh merebak dan menampakkan kulit kita menjadi hitam. Kedua-dua perkara ini boleh menyebabkan resdung yang teruk. Kita atasi masalah ini dengan mengurang/membersihkan jerawat. Ambil sedikit daun penggaga tumbuk sehingga lumat kemudiannya dicampurkan dengan bedak sejuk. Bedak sejuk yang elok dibeli dari Langkawi buatan pribumi itu sendiri. Memang baik dan berkualiti. Kemudian pakaikan pada seluruh muka. Anda duduk senyap2 dan jangan bercakap. Anda akan rasakan kulit muka anda menjadi tegang. Kalau yang tempat ada jerawat ianya akan menjadi kering. Lebih kurang 30minit cuci dengan air suam. Lihatlah kesannya muka akan berasa licin dan bersih. Jeragat pula akan hilang sedikit demi sedikit akbit kesan dari penggunaan daun penggaga itu. Lakukan 3x seminggu insyaAllah muka anda tidak akan ada masalah lagi.
Petua 15
Gunakan uncang Teh -Teh herba memang baik untuk kesihatan. Selepas kita minum air rendaman teh ini, uncang nyer jangan dibuang. -Ambil uncang teh ini, pastikan kelembapannya tidak terlalu berair dan tekapkan ke jerawat. -Biarkan lebih kurang 10 minit, kemudian basuh ler muka tu. Amalkan sebelum tidur dan InsyaAllah, bila bangun dari tidur kita akan dapat melihat kesannya di mana jerawat ini akan kecut dan jika diamalkan selalu, jerawat akan hilang. InsyaAllah....

Sabtu, 1 November 2008

Adab Berbicara, Berdebat dan Memberi Pendapat


ADAB BERBICARA


1. Semua perbicaraan harus kebaikan, dalam hadis Nabi Muhammad SAW disebutkan: “Barangsiapa yang beriman pada ALLAH dan hari akhir maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam.” (HR Bukhari Muslim)


2. Berbicara harus jelas dan benar, sebagaimana dalam hadis Aisyah ra: “Bahawasanya perkataan Rasulullah SAW itu selalu jelas sehingga bisa difahami oleh semua yang mendengar.” (HR Abu Daud)


3. Seimbang dan menjauhi berlarut-larutan, berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku nanti di hari Kiamat ialah orang yang banyak bercakap dan berlagak dalam berbicara.” Maka dikatakan: Wahai Rasulullah kami telah mengetahui erti ats-tsartsarun dan mutasyaddiqun, lalu apa makna al-mutafayhiqun? Maka jawab nabi SAW: “Orang-orang yang sombong.” (HR Tirmidzi dan dihasankannya)


4. Menghindari banyak berbicara, kerana khuatir membosankan yang mendengar, sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Wa’il: "Adalah Ibnu Mas’ud ra senantiasa mengajari kami pada setiap hari Khamis, maka berkata seorang lelaki: Wahai Abu Abdurrahman (gelaran Ibnu Mas’ud) seandainya anda mahu mengajari kami setiap hari? Maka jawab Ibnu Mas’ud : Sesungguhnya tidak ada yang menghalangiku memenuhi keinginanmu, hanya aku khuatir membosankan kalian, kerana akupun pernah meminta yang demikian pada Rasulullah SAW dan beliau menjawab khuatir membosankan kami" (HR Muttafaq ‘alaih)


5. Mengulangi kata-kata yang penting jika dibutuhkan, dari Anas ra bahwa adalah Nabi Muhammad SAW jika berbicara maka baginda mengulanginya 3 kali sehingga semua yang mendengarkannya menjadi faham, dan apabila baginda mendatangi rumah seseorang maka baginda pun mengucapkan salam 3 kali. (HR Bukhari)


6. Menghindari mengucapkan yang bathil, berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW: “Sesungguhnya seorang hamba mengucapkan satu kata yang diredhai ALLAH SWT yang ia tidak mengira yang akan mendapatkan demikian sehingga dicatat oleh ALLAH SWT keredhaan-NYA bagi orang tersebut sampai nanti hari Kiamat. Dan seorang lelaki mengucapkan satu kata yang dimurkai ALLAH SWT yang tidak dikiranya akan demikian, maka ALLAH SWT mencatatnya yang demikian itu sampai hari Kiamat.” (HR Tirmidzi dan ia berkata hadis hasan shahih; juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah)


7. Menjauhi perdebatan sengit, berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW: “Tidaklah sesat suatu kaum setelah mendapatkan hidayah untuk mereka, melainkan karena terlalu banyak berdebat.” (HR Ahmad dan Tirmidzi) dan dalam hadis lain disebutkan sabda Nabi Muhammad SAW: “Aku jamin rumah di dasar syurga bagi yang menghindari berdebat sekalipun ia benar, dan aku jamin rumah di tengah syurga bagi yang menghindari dusta walaupun dalam bercanda, dan aku jamin rumah di puncak syurga bagi yang baik akhlaqnya.” (HR Abu Daud)


8. Menjauhi kata-kata keji, mencela, melaknat, berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW: “Bukanlah seorang mukmin jika suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji.” (HR Tirmidzi dengan sanad shahih)


9. Menghindari banyak bercanda(bergurau), berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW: “Sesungguhnya seburuk-buruk orang disisi ALLAH SWT di hari Kiamat kelak ialah orang yang suka membuat manusia tertawa.” (HR Bukhari) 10. Menghindari menceritakan aib orang dan saling memanggil dengan gelaran yang buruk, berdasarkan ayat al-quran, Al-Hujjurat:11, juga dalam hadis Nabi Muhammad SAW: “Jika seorang menceritakan suatu hal padamu lalu ia pergi, maka ceritanya itu menjadi amanah bagimu untuk menjaganya.” (HR Abu Daud dan Tirmidzi dan ia menghasankannya)

Adab dan Sopan,Rabbani


11. Menghindari dusta, berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW: “Tanda-tanda munafik itu ada tiga, jika ia bicara berdusta, jika ia berjanji mengingkari dan jika diberi amanah ia khianat.” (HR Bukhari)


12. Menghindari ghibah(mengutuk) dan mengadu domba, berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW: “Janganlah kalian saling mendengki, dan janganlah kalian saling membenci, dan janganlah kalian saling berkata-kata keji, dan janganlah kalian saling menghindari, dan janganlah kalian saling meng-ghibbah satu dengan yang lain, dan jadilah hamba-hamba ALLAH yang bersaudara.” (HR Muttafaq ‘alaih)


13. Berhati-hati dan adil dalam memuji, berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW dari Abdurrahman bin Abi Bakrah dari bapanya berkata: Ada seorang yang memuji orang lain di depan orang tersebut, maka berkata Nabi SAW: “Celaka kamu, kamu telah mencelakakan saudaramu! Kamu telah mencelakakan saudaramu!” (dua kali), lalu kata baginda SAW: “Jika ada seseorang ingin memuji orang lain di depannya maka katakanlah: Cukuplah si fulan, semoga ALLAH mencukupkannya, kami tidak mensucikan seorangpun di sisi ALLAH, lalu barulah katakan sesuai kenyataannya.” (HR Muttafaq ‘alaih dan ini adalah lafzh Muslim) dan dari Mujahid dari Abu Ma’mar berkata: Berdiri seseorang memuji seorang pejabat di depan Miqdad bin Aswad secara berlebih-lebihan, maka Miqdad mengambil pasir dan menaburkannya di wajah orang itu, lalu berkata: Nabi Muhammad SAW memerintahkan kami untuk menaburkan pasir di wajah orang yang gemar memuji. (HR Muslim)

ADAB MENDENGAR


1. Diam dan memperhatikan (ayat al-quran, Qaf:37)

2. Tidak memotong/memutus pembicaraan

3. Menghadapkan wajah pada pembicara dan tidak memalingkan wajah darinya sepanjang sesuai dengan syariat (bukan berbicara dengan lawan jenis)

4. Tidak menyela perbicaraan saudaranya walaupun ia sudah tahu, sepanjang bukan perkataan dosa.

5. Tidak merasa dalam hatinya bahwa ia lebih tahu dari yang berbicara


ADAB MENOLAK / TIDAK SETUJU

1. Ikhlas dan menghindari sifat senang menjadi pusat perhatian

2. Menjauhi ingin tersohor dan terkenal

3. Penolakan harus tetap menghormati dan lembut serta tidak meninggikan suara

4. Penolakan harus penuh dengan dalil dan taujih

5. Menghindari terjadinya perdebatan sengit

6. Hendaknya dimulai dengan menyampaikan isi benarnya terlebih dulu sebelum memberi komen yang salah

7. Penolakan tidak bertentangan dengan syariat

8. Hal yang dibicarakan hendaknya merupakan hal yang penting dan dapat dilaksanakan dan bukan sesuatu yang belum terjadi

9. Ketika menolak hendaknya dengan memperhatikan tingkat ilmu lawan bicara, tidak berbicara di luar kemampuan lawan bicara yang dikhuatirkan menjadi fitnah bagi diri dan agamanya

10. Saat menolak hendaknya menjaga hati dalam keadaan bersih, dan menghindari kebencian serta penyakit hati.