Isnin, 16 Februari 2009

EQ Melawan IQ

Dipetik daripada buku "MENTAL SIHAT" terbitan PTS Millennia Sdn Bhd

Banyak kajian yang dijalankan dalam bidang EQ menggariskan berapa kebolehan yang ditakrifkan sebagai EQ. Antaranya ialah Kebolehan memahami emosi diri, kebolehan mengurus emosi dengan sesuai, kebolehan memotivasikan diri, kebolehan mengenali emosi individu lain dan kebolehan mengendalikan persahabatan.

Kecerdasan emosi diperoleh melalui lima bentuk kebolehan kendiri seperti berikut:

1. Kebolehan memahami emosi diri.
2. Kebolehan mengurus emosi dengan sesuai.
3. Kebolehan memotivasikan diri.
4. Kebolehan mengenali emosi individu lain.
5. Kebolehan mengendalikan persahabatan.

Kita pernah mendengar ibu yang mempertaruhkan nyawa sendiri bagi menyelamatkan anak-anak semasa kecemasan. Kejadian seperti ini menunjukkan emosi adalah penentu di sebalik tindakan yang drastik. Individu yang mempunyai kecerdasan fikiran tidak semestinya menggunakan pertimbangan akal yang rasional.

Semasa dalam kecemasan, emosi merangsang pertimbangan dan tingkah laku. Pentingnya peranan emosi sehingga timbul pandangan di kalangan ahli-ahli psikologi. Pandangan berkenaan faktor emosi menentukan kejayaan dan kegagalan dalam hidup individu. Faktor ini dikenali sebagai kecerdasan emosi.

Profesor di Universiti Harvard, Amerika Syarikat iaitu Profesor George Vaillant menceritakan pemerhatiannya di dalam buku Adaptation to Life. Buku ini mengisahkan sekumpulan pelajar Universiti Harvard sekitar 1940-an. Kehidupan berkeluarga dan kerjaya mereka dituruti sehingga ke peringkat pertengahan usia.

Kecerdasan emosi diperoleh melalui lima bentuk kebolehan kendiri seperti berikut:

1. Kebolehan memahami emosi diri.
2. Kebolehan mengurus emosi dengan sesuai.
3. Kebolehan memotivasikan diri.
4. Kebolehan mengenali emosi individu lain.
5. Kebolehan mengendalikan persahabatan.

Kebolehan Memahami Emosi Diri

Ajaran Islam menuntut penganutnya bermuhasabah. Muhasabah dalam Islam bermaksud menghitung kesalahan, mengimbau kesilapan dan melihat kembali kealpaan diri dalam mengerjakan suruhan Tuhan. Sesudah itu, perlu diperbetulkan segala kesalahan, kesilapan dan kealpaan supaya menjadi pedoman pada masa hadapan.

Hal yang sama juga perlu dilakukan kepada emosi diri. Sebelum bermuhasabah, individu itu perlu sedar proses berfikir sehingga mencetuskan emosi dan tindak balas luar kawal.
Perlu dilihat kembali apakah individu itu terbawa-bawa sehingga terlebih tindak balas kepada suatu isu.Perlu dinilai sama ada beliau mementingkan perkara kecil ataupun meremehkan perkara yang besar. Selepas itu, penyesuaian kognitif perlu dilakukan ke arah penyelesaian total.

Kebolehan Mengurus Emosi dengan Berkesan

Mengurus emosi adalah pekerjaan sepenuh masa. Mengurus emosi memerlukan persediaan kognitif yang cukup dan pemahaman mengenai situasi yang mencetuskan emosi berkenaan.
Pengurusan yang berkesan memerlukan sistem sokongan yang berterusan. Sistem sokongan ini merangkumi aspek biologi dan psikososial. Ada individu yang perlu mengambil ubat-ubatan anti kemurungan dan mood stabilizer bagi mengurus emosi supaya stabil. Mereka adalah pesakit yang didiagnosis menghidapi kecelaruan emosi.

Kebolehan Memotivasikan Diri

Pada zaman kegawatan ekonomi, ramai usahawan terpaksa bergelut dan tidak kurang pula yang kecundang. Jatuh bangun adalah asam garam kehidupan. Apa yang penting adalah keupayaan belajar bangun kembali, berjalan dan berlari. Usaha yang berterusan serta sikap yang optimis dan berfikiran positif membantu mencapai kejayaan.

Kebolehan Mengenali Emosi Orang Lain

Sahabat memberitahu saya berkenaan rakannya yang bersikap dingin, enggan bertegur sapa dan kelihatan seperti kehilangan mood secara tiba-tiba. Beliau hairan lantas menganggap rakannya membenci beliau berdasarkan andaian yang tidak berasas.

Akhirnya, selepas beberapa hari tidak bersua muka, sahabat tadi berjaya merungkaikan kekusutan perhubungan. Beliau merasa bersalah kerana tidak dapat membalas jasa ayahnya yang selama ini bertungkus-lumus menyekolahkan nya. Malangnya, ayah beliau meninggal dunia akibat sakit kanser.

Kebolehan Mengendalikan Persahabatan

Pengendalian persahabatan memerlukan pengawalan diri yang baik. Individu itu perlu berupaya mengawal perasaan marah, sedih, benci dan suka yang keterlaluan.

Beberapa kebolehan yang dikenal pasti sebagai komponen utama kebijaksanaan menjalin hubungan:

Kebolehan menguruskan kumpulan.Kebolehan merunding penyelesaian.Kebolehan menjalin hubungan peribadi melalui perkaitan personal.Kebolehan menganalisis individu lain melalui perasaan, motif dan sikap.

Biasanya, individu yang mempunyai kualiti kepimpinan berasaskan seperti ciri-ciri yang disebutkan di atas.

Daya kepimpinan antara individu dengan individu lain berbeza daripada segi tahap, kualiti serta saiz individu yang dipimpin. Kecerdasan emosi dapat dilatih sejak kecil. Apabila beberapa kebolehan seperti yang dibincangkan di atas dapat dibentuk semasa kecil, maka mereka membesar dengan memperoleh aset yang tidak ternilai harganya. Sehingga ada yang berpendapat kecerdasan emosi dapat menentukan kejayaan dalam hidup.

Tiada ulasan: