"Sekarang kebanyakan universiti sedang bercuti panjang. Pada masa ini, boleh dikatakan ramai para mahasiswa berlumba-lumba untuk mendapatkan kerja. Tidak kira kerja apa, asalkan boleh mendatangkan hasil dan dapat mengisi kekosongan masa cuti yang panjang ini.
Namun saya lebih suka untuk tinggal di rumah sahaja. Membantu emak berniaga kedai runcit. Lagipun. saya ingin menghabiskan masa cutiku bersama keluarga. Selama ini saya banyak menghabiskan masa nun jauh di utara negeri untuk mengejar cita-cita dan harapan. Dan kini saya ingin menebus kembali rinduku kepada keluarga yang telah bertukar menjadi dendam ini.
“ Ilah! Tolong jaga kedai kejap. Mak nak solat dulu.” Pinta emak sewaktu melintasi bangku tempat dudukku. Bagiku. saya lebih suka bekerja di kedai runcit ini sebab saya berpeluang untuk menghabiskan beberapa buah buku yang sengaja kubeli sewaktu dalam perjalanan balik ke kampung. Kalau boleh. saya juga ingin meningkatkan lagi perniagaan keluarga ini. saya sedang mencari idea untuk memajukan kedai milik keluarga ini.
“ Hai Ilah! Bila balik?” Tanya makcik Som sambil meletakkan barang-barang yang mahu dibelinya ke atas kaunter.
“ Balik semalam. Makcik sihat?” Tanyaku sekadar berbasa-basi.
“ Sihat orang tua Ilah. Lama ke kamu cuti ni?”
“ Adalah dalam tiga bulan.” Jawabku.
“ Berapa lama lagi pengajian kamu tu?”
“ Lebih kurang empat bulan lagi makcik.”
“ Ah dah tak lama tu. Nanti senanglah sikit mak dan ayah kamu bila kamu dah kerja nanti.” Katanya sambil menjelaskan bayaran dan terus berlalu.
Bila disebut pasal kerja. saya sendiri pun masih belum tahu kerja apa yang ingin ku cari nanti. Masih belum terfikir lagi dalam fikiran ku ini. Cuma yang penting. saya ingin tamatkan pengajianku ini dengan seberapa segera. saya ingin membantu keluarga serta menampung adik-adik yang masih lagi menuntut. kasihan saya tengok mak dan ayah bersusah payah untuk menyara kehidupan kami.
Dalam keasyikan saya membaca buku itu, telefon bimbitku berbunyi menandakan ada panggilan. saya tersenyum bila melihat nombor yang tertera kerana saya tahu siapa. Orang yang selalu saya rindu dan ingati. Orang yang banyak mengubah cara hidupku. Kadang-kadang saya seperti tidak percaya bahawa saya boleh tertarik padanya hanya dengan sekali pertemuan. Padahal sebelum ini saya tidak pernah mengenalinya. Mungkin hanya melalui abang dan adik ku yang rapat dengannya. Itulah dinamakan takdir.
“ Hello!”
“ Abang sini. Bagi tahu kawan-kawan yang lain kita nak buat mesyuarat persatuan petang lusa kat surau.”
“ InsyaAllah…”Jawabku.
“ Ilah sihat?” Soalnya.
“ Sihat. Abang pula?”
“ Ok saja. Maafkan abang sebab tak dapat cakap panjang. Abang ada kerja ni.”
“ Nanti kita sambung lagi. Ok.” Dia memutuskan talian.
Sudah lama saya tidak menemuinya membuatkan saya bertambah rindu. Maklumlah saya di Utara manakala dia di Selatan. Impian dan cita-cita yang membuatkan kami terpisah, namun tetap jua bersemi dan hadir ke dalam jiwa tatkala rindu mula membara. Entah macam mana rupa dia sekarang. Kali terakhir saya menemuinya dua bulan yang lepas, dia agak kurus sedikit. Rambutnya panjang mencecah bahu, janggut dan jambang dibiarkan tumbuh meliar. Walaupun saya sudah memberitahunya bahawa saya tidak begitu menyukai penampilannya sebegitu, namun dia tetap mengatakan itulah imejnya. Dah puas saya beritahu, tapi dia tetap begitu. Apa-apa pun keadaannya. saya tetap sayang padanya kerana saya tahu sikap dan perangainya. Hanya penampilan dia sahaja yang begitu tetapi dia tetap hebat.
Kiranya saya ceritakan, mungkin sukar untuk diterima orang. Sebenarnya saya dah lama tertarik padanya. Dia selalu menjadi imam di surau dekat kampungku. Manakala saya pula selalu menjadi makmumnya apabila berpeluang. saya cukup tenang sewaktu mendengar bacaan ayat-ayat sucinya. Suaranya membuatkan saya terpukau sejenak. Dan kadang-kadang orang kampung memintanya untuk menyampaikan kuliah. saya juga selalu mendengar kuliahnya. Dia cukup pandai mengolah isu-isu semasa dalam kehidupan masyarakat.
“ Aah… banyak perkara yang ada padanya membuatkan saya jatuh hati.”
saya rasa gembira bila teringatkan tentang mesyuarat persatuan yang akan diadakan malam lusa. Itulah peluang saya untuk menemuinya. Dengar khabar, dia bercuti sekejap sahaja kerana dia ingin mengambil kelas musim panas. Idea dialah juga untuk menubuhkan persatuan mahasiswa di kampung kami. Katanya untuk mengumpulkan anak-anak penduduk kampung yang belajar di universiti bagi mencurahkan jasa kepada pembangunan ilmu dan minda penduduk. Kami menyokong penuh ideanya itu, maka tertubuhlah persatuan mahasiswa di kampung kami.
Malamku di kampung agak berbeza dengan di kampus. Ini kerana saya tidak mempunyai sebarang aktiviti khusus seperti mesyuarat persatuan, studi, bersukan dan sebagainya. Di rumah ini saya hanya mampu menghabiskan masa untuk membaca buku dan membantu keluarga di kedai runcit.
Tiba-tiba sahaja saya berasa sunyi dan kesepian. Sunyi dari kesibukan kampus dan tugas seorang pelajar. Tapi sebenarnya saya rindu. Rindu pada seorang kekasih yang selalu memujuk dan membelai jiwaku dengan tingkah lakunya yang terhormat dan tutur bicaranya yang terjaga. Tingkah lakunya yang terjaga membuktikan bahawa dia menghormati maruah kewanitaanku serta kesucianku sebagai seorang gadis. Dia mampu membuatkan saya rasa selamat bila menemuinya. Tutur kata bicaranya memukau telinga serta bisa memujuk jiwa yang resah dan gelisah. Walaupun saya dan dia sekampung, namun dia tetap menjaga nama baikku dan nama baiknya daripada diperkatakan orang kampung.
Cuma saya sedikit tidak faham dengan prinsipnya. Katanya, dia tak nak mengikat saya dengan sebarang janji. Jika ada takdir yang menyebelahi kami, insyaAllah kami akan diijab kabulkan.
“ Abang tak nak mengikat Ilah dengan sebarang janji. Ilah bebas menentukan arah hidup dan pilihan Ilah.” Katanya padaku.
“ Sekiranya ada orang datang meminang, Ilah dan keluarga berkenan serta bersetuju maka abang rela dan redha melepaskan Ilah. Abang akan sentiasa mendoakan kebahagiaan Ilah. Cuma Ilah perlu memberitahu abang saja agar abang tidak berharap.” Sambung dia lagi.
“Kalau sesuatu itu telah ditakdirkan Allah milik kita, walau ia berada di seberang laut dan dalam keadaan merangkak sekalipun ia akan tetap datang ke pangkuan kita. Namun sekiranya sesuatu itu telah ditakdirkan bukan milik kita, walaupun telah kita kunyah dan telan namun ia tetap akan dimuntahkan juga.” Itulah kata-kata yang selalu diucapkan olehnya padaku.
Namun. saya pasti semua orang bersetuju sekiranya saya katakan bahawa terlalu sukar untuk kita mengubah kasih sayang sekiranya kita benar-benar mencintai seseorang kerana cinta, kasih dan sayang adalah bukan sesuatu mainan yang boleh dijual beli sesuka hati.
Terlalu banyak masalah hati yang timbul sekiranya saya terus memikirkannya. Namun kadang-kadang, perasaan rinduku ini membuatkan kenangan dan ingatan pengalaman perjalanan hidup ini menjadi manis.
Suasana malam di kampung cukup menenangkan jiwaku. Tiada bunyi bising dan kekalutan seperti di kampus. Di sini malamnya sunyi dan mendamaikan. Hanya sesekali sahaja terdengar bunyi burung tukang ataupun burung jampuk bernyanyi. Desir angin yang berlagu mendendangkan irama istimewa buat penduduk kampung seperti saya yang sentiasa inginkan persekitaran yang dapat mengembalikan ketenangan jiwa dan kedamaian hati. Ia membuatkan saya tidur lena bagai diulit dayang dan inang.
Seperti yang telah dijanjikan, ahli-ahli persatuan berkumpul di surau untuk menghadiri mesyuarat. Kebanyakan ahli dapat menghadirkan diri, maklumlah semua kampus sedang bercuti sekarang. saya dan beberapa kawan-kawan yang lain telah menyediakan beberapa juadah untuk jamuan selepas mesyuarat nanti. Walau apa pun, yang pentingnya saya terpaksa menyediakan laporan mengenai biro yang saya pegang. Pada mesyuarat agong yang lepas. saya telah dilantik sebagai pengerusi biro Helwani.
Mengikut tentatif mesyuarat, tujuan utama diadakan mesyuarat hari ini adalah untuk membincangkan tentang aktiviti-aktivi yang akan diadakan pada musim cuti ini. Mesyuarat dimulakan dengan ucapan aluan oleh Presiden persatuan dengan menaruh harapan agar persatuan dapat menfaatkan masa yang ada ini untuk menjalankan aktiviti yang boleh mengeratkan lagi hubungan dikalangan para ahli dan juga pada masa yang sama dapat menaburkan bakti kepada masyarakat kampung. Seterusnya pembentangan laporan oleh setiap ketua biro mengenai perkembangan gerak kerja yang telah dilakukan dan perancangan yang bakal dilakukan. Para ahli telah bersetuju untuk bersama-sama mengadakan kelas tuisyen malam untuk anak-anak kampung ini yang akan mengambil peperiksaan SPM hujung tahun nanti. Oleh itu, setiap orang dibahagikan tugas-tugas yang perlu dilakukan. saya telah ditugaskan untuk mengajar subjek matematik.
“ Hai Ilah! Engkau nampak rapat saja dengan abang Shidi tu? Ada apa-apa ke?” Tanya Marisa sewaktu kami menghadap jamuan.
“ Ish, engkau ni. saya biasa saja. Tak ada apa-apa pun. Macam engkau dengan dia juga.” Kataku. Kalau boleh. saya tak nak kisah cinta kami ini diketahui orang sebab nanti banyak pulak masalah yang bakal timbul nanti. Lagipun saya dah janji dengan abang Shidi untuk merahsiakannya selagi dapat.
“ Manalah tau agaknya-agaknya senyap berisi pulak.” Sampuk Elisa.
“ Takkanlah dia nak pilih orang macam saya. Sedangkan kat kampus dia tu ramai lagi yang lebih baik dari saya.” Helah saya.
“ Engkau mana tahu hati orang. Lagipun saya tengok dia tu macam suka saja kat engkau.” Sambung Marisa lagi.
“ Engkau orang ni, jangan pandai-pandai pulak nak mereka-reka cerita. Kan susah pulak saya nanti.” Kataku sambil berlalu dengan membawa pinggan-pinggan serta cawan ke sink.
Nampak gayanya, kawan-kawan yang lain dah mula dapat menghidu hubungan baik kami ini. Bukan apa. saya takut juga nanti bila orang dah tahu akan tersebar pula berita-berita yang tidak benar tentang kami.Tadi abang Shidi sempat memberitahuku bahawa dia nak datang ke rumah malam nanti. Katanya dah lama dia tak jumpa saya, jadi dia nak datang melawat saya di rumah. Khabar itu membuatkan saya gembira. Memang saya menanti-nanti kedatangannya. Ingin sekali saya menatap wajahnya sepuas hatiku untuk menebus segala rinduku. Ingin sekali saya dengar suaranya agar bisa membangkitkan perasaan kasih dan sayang. Begitulah kebiasaannya bila dia pulang bercuti ke kampung. Dia akan datang menemuiku di rumah di temani keluargaku sendiri sebagai saksi pertemuan kami. Agar kami dapat mengelakkan dari sebarang fitnah dan cerita dari mulut manusia.
Malam ini saya turun berjemaah di surau. Berkebetulan abang Shidi yang menjadi imamnya. Sudah lama juga saya tidak menjadi makmumnya, tidak mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan alunan zikirnya. Malam ini saya berpeluang lagi untuk menikmati keindahan dan kemerduan suaranya itu. Selepas solat maghrib, para jemaah memintanya untuk menyampaikan kuliyah maghrib.
Walaupun tanpa persediaan, namun dia masih mampu untuk menyampaikan kuliyahnya dengan baik dan teratur sekali. saya lihat,para muslimat dan kaum ibu begitu khusyuk sekali dan kadang-kadang tersenyum oleh kerana telatah dan lawak yang diselitkannya dalam kuliyahnya itu. Dia membincangkan isu masalah umat zaman sekarang. Zaman teknologi yang penuh dengan cabaran yang boleh menggugat keimanan para orang Islam.
“ Tanpa iman yang kukuh dan persediaan ilmu, orang Islam akan hanyut dalam arus kemodenan yang telah ditaja barat dengan membelakangkan agama. Pada pendapat mereka, dengan berpegang pada agama ia akan menghalang penganutnya dari mencapai kemajuan dan kemodenan.” Kata abang Shidi.
“ Telah banyak bukti-bukti yang ditunjukkan Allah bagaimana kesan dan kesudahannya kemodenan yang membelakangkan agama. Contohnya barat sendiri. Dalam mengejar arus kemodenan, kita boleh lihat berapa ramai para remaja perempuan mereka yang melahirkan anak-anak diluar nikah. Semakin maju kehidupan mereka semakin banyak jenayah yang berlaku dan semakin hebat perancangannya. Semakin maju dan canggih peralatan semakin singkat cara berpakaian mereka sehingga mereka tanpa segan silu mendedahkan tempat-tempat yang tidak sepatutnya didedahkan kepada orang ramai.” Hujahnya lagi.
“ Hari ini, perkara sebegini telah menular ke dalam masyarakat kita. Anak-anak kita bebas berpakaian yang kononnya ‘up to date’ atau mengikut arus semasa. Mereka juga bebas memilih pasangan mereka serta tanpa rasa takut melakukan perkara-perkara yang selayaknya dilakukan oleh sepasang suami isteri di atas nama kekasih. Bagi mereka itulah sebenarnya kemodenan. Ibu bapa pula telah hilang peranan dan hak-hak mereka untuk mendidik anak-anak mereka. Mereka hanya mampu melihat sahaja apa yang berlaku.”
Bagiku, apa yang dikatakan oleh abang Shidi itu ada kebenarannya. Di kampungku sahaja, perkara-perkara seperti itu telah wujud. Anak-anak muda yang terpengaruh dengan mereka yang pulang dari bandar-bandar besar dengan membawa buah tangan berupa budaya-budaya kuning yang tidak senonoh itu. Itulah sebahagian dari perbincangan kami sewaktu mesyuarat petang tadi. Cuba untuk mendapatkan idea dan cadangan bagaimanakah cara dan jalannya untuk kami lakukan bagi mengembalikan identiti masyarakat Islam yang sedang menghadapi konflik identiti ini.
“ Oleh itu, setiap kita mempunyai tanggungjawab yang besar untuk dimainkan bagi memastikan perkara ini tidak berlaku. Kita perlu sama-sama mencegahnya supaya apabila ia berlaku kita tidak akan saling menunding jari untuk meletakkan kesalahan itu di atas bahu dan kepala orang lain. Semoga Allah s.w.t membantu kita dalam menegakkan agamanya yang suci ini daripada terus dicemari oleh perkara-perkara yang menjijikkan itu.” Itulah kata-kata terakhirnya sebagai penutup untuk kuliyah maghribnya malam itu. saya lihat, kebanyakan ahli jemaah berpuas hati dengan kuliyahnya tadi.
Selepas solat isyak. saya terus balik ke rumah kerana abang Shidi dah janji untuk datang ke rumah malam ni. Saja saya balik awal sikit kerana saya nak goreng mee sebagai jamuan bila abang Shidi datang nanti. Lagipun tak ada yang istimewa untuk hidangan nanti, cuma saya tahu abang Shidi suka makan mee.Sedang saya asyik di dapur. saya terdengar suara ayah memberi salam. Diikuti suaranya menjemput seseorang naik.
“ Jemputlah naik!” saya yakin, dia datang dengan ayah semasa turun dari surau tadi.
“ Terima kasih.” Ucapnya sambil melangkah naik ke rumahku. saya masih lagi dalam bilik untuk memakai tudung. Biarlah ayah dan mak yang melayannya dulu. saya mengenakan tudung pink yang pernah dihadiahkan olehnya sewaktu saya menyambut ulang tahun kelahiranku yang ke 22 baru-baru ini.
“ Ilah! Abang Shidi datang ni. Keluarlah.” Panggil mak. Segan juga saya nak keluar, maklumlah dah lama tak jumpa. Lagipun mak dan ayah ada sama. Apa yang saya nak cakap depan mereka nanti. Takkan nak cakap pasal cinta, rindu dan sayang. Malulah saya sebab mereka terlebih dulu makan garam daripada kami.
“ Abang apa khabar?” Tanyaku sewaktu melabuhkan punggung di atas sofa setentang dengannya.
“ Alhamdulillah, sihat. Ilah pulak macam mana?”
“ Ok saja. Macam biasa, cuma…….” saya tak dapat menghabiskan kata-kataku bila saya tiba-tiba sedar yang mak dan ayah ada bersama kami. Kalau tidak pasti mereka tahu nanti. Tapi saya yakin, walaupun mereka tidak tahu secara pasti namun mereka dapat mengagak dari cara kami berdasarkan pengalaman mereka sebagai orang tua.
“ Duduklah dulu ya, makcik nak ke dapur kejap.” Mak bangun menuju ke dapur. Manakala ayah pula bangun untuk menukar bajunya. Jadi sekarang hanya tinggal saya dan abang Shidi saja di ruang tamu rumahku itu.
saya jadi lebih segan bila kulihat dia sedang asyik memerhatikan saya. Dia kemudian tersenyum bila dia lihat saya tersipu-sipu malu kerana diperlakukan begitu.
“ Abang rindu pada Ilah.” Antara dengar tak dengar dia memberitahuku.
“ Ilah pun macam tu juga. Tapi nak buat macam mana, nak jumpa selalu tak boleh. Sabar sajalah.” Kata-kata itu bagaikan untuk memujuk hatiku sendiri. saya sendiri pun kadang-kadang tak tertahan rasa rindu di hati ini. Tapi di sana ada batas-batas yang perlu saya sedari agar saya tidak terjerumus ke dalam kancah yang boleh membinasakan kami sendiri.
“ Kalau tidak kerana janji dan cita-cita, dah lama abang masuk pinang Ilah. Kita kahwin lagi baik daripada terus dalam keadaan begini.”
saya tahu betapa abang Shidi berpegang kuat pada janjinya. Dia telah berjanji dengan keluarganya untuk menjaga ibunya yang sudah tua dan menampung pengajian adik-adiknya terlebih dahulu apabila dia tamat pengajian nanti. Lagipun dia mempunyai cita-cita yang tinggi untuk masa depan. Segala-galanya dia telah ceritakan padaku tentang janji dan cita-citanya itu supaya saya tahu keadaan dirinya. Sebab itulah dia tidak mahu mengikat saya dengan sebarang janji kerana dia takut saya tidak mampu menunggu lebih lama. Jadi saya bebas untuk menentukan haluanku sendiri. Katanya dia redha dan rela sekiranya saya memilih lelaki lain sebagai suamiku sekiranya itu sudah jodoh dan takdir bagiku.
“ Ilah perempuan, abang lelaki. Lelaki punyai lebih banyak tanggungjawab terhadap keluarga yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum dia mendirikan rumah tangga.” Katanya padaku dulu.
“ tak mengapalah. Abang tunaikan dulu janji abang tu dan dapatkan dulu cita-cita abang tu. Kalau ada jodoh kita tak ke mana juga.” Beritahuku pasrah. Kadang-kadang saya jadi serba salah juga, sebab cinta kami ni pelik tak seperti orang lain.
“ Walau apapun, Ilah bebas menentukan jodoh Ilah. Abang tak ikat dengan sebarang janji, cuma hanya takdir Allah adalah segala-galanya.” Mengingatkan saya kembali dengan kata-katanya yang lepas.
“Berapa lama abang bercuti ni?” Tanyaku mengubah topik perbualan apabila menyedari mak keluar membawa minuman.
“ Malam esok abang dah nak bertolak balik ke kampus. Abang ambil semester khas. Nak pendekkan tempoh pengajian.” Beritahunya yang turut menyedari kehadiran mak itu.
“ Jemputlah minum Rashidi. Mee tu Ilah yang buatkan. Rasalah.” Jemput mak.
“ Entah sedap entah tidak mee tu. Baru belajar masak.” Balasku kembali.
“ Alaa cuti lama, nanti boleh belajar masak kat rumah ni dengan makcik.” Jawabnya sambil tersenyum.
“ Cuma kenalah rajin sikit.” Sambungnya lagi. Sambil tergelak kecil. Mak dan saya turut sama tersenyum dengan jenaka dia itu.
Ah…abang tetap hebat. saya begitu tenang apabila dapat melihat wajahnya. Dia tidak banyak berubah, cuma jambang dan misainya digunting kemas. Rambutnya agak panjang sedikit dan hampir mencecah bahu. Mungkin agak pendek sedikit dari rambutku yang lebih sedikit dari paras bahu. Saja saya potong pendek supaya senang saya menjaganya.
Tapi dia lebih suka kalau saya berambut panjang.
Walaupun dia masih belum menyuntingku untuk menjadi suri hidupnya, namun saya telah lama mengambilnya sebagai perwira hidupku. Ataupun dia masih lagi belum mengambilku menjadi mempelai perempuannya, namun dia telah lama menjadi pengantin lelaki dalam persandingan kami di hatiku ini. Dia telah berjaya menawan hatiku dan jiwaku oleh sebab sikapnya dan peribadinya yang membuatkan saya benar-benar kagum.
“ Ya Allah. saya bermohon padaMu dengan seluruh kehidupan ini agar menjaga perasaan kecintaan ini. Kiranya dia benar-benar ditakdirkan buatku, maka satukanlah kami di bawah naungan cinta dan kasihMu. Dan jika dia ditakdirkan bukan milikku, maka Engkau jauhkanlah dia dari pandangan dan ingatanku. Perkukuhkanlah kesabaranku dalam menghadapinya dan titiplah ke dalam hatiku sifat keredhaan dengan takdirMu wahai tuhan.” Doaku pasrah.
Kami meneruskan program kelas malam untuk SPM itu. saya dan kawan-kawan yang lain masing-masing memainkan peranan dan tugas yang telah ditetapkan. Agak sukar sikit untuk mengatur gerak kerja kerana abang Shidi tak ada sebab selalunya dialah yang banyak mengatur dan memberikan idea. Jadi agak kelam kabutlah sikit.
Namun begitu dia selalu menelefonku bertanyakan perkembangan dan perjalanan program itu. Selalu juga dia memberikan cadangan dan pendapat serta buah fikirannya kepadaku untuk saya utarakan kepada kawan-kawan yang lain bagi meningkatkan lagi gerak kerja dan prestasi persatuan.
Cuti kali ini memberikan saya banyak masa terluang. saya habiskan masa-masa lapangku dengan membantu mak dan ayah di kedai sambil membaca buku. Kadang-kadang saya juga suka berfikir tentang masa depanku. saya masih lagi tercari-cari bagaimana saya ingin membina masa depanku sendiri. Kerjayaku, keluargaku dan cita-citaku. saya hanya ada satu semester lagi untuk menamatkan pengajianku. saya masih tertanya-tanya kerjaya yang macam manakah yang akan ku pilih nanti. saya cukup kabur mengenainya. saya pernah meminta pandangan abang Shidi mengenainya, dan katanya adalah lebih baik buatku untuk memilih kerjaya yang ada kaitan dengan pengajianku sekarang ini. Namun katanya, seharusnya tidak terlalu memilih kerja. Sekurang-kurangnya kita akan mendapat pengalaman yang di luar bidang kita dan kita akan memperolehi kebolehan yang baru. Seperti dia, walaupun bidang pengajiannya dalam kejuteraan elektronik, namun tidak semestinya dia akan menjadi seorang jurutera. Katanya, dia lebih minat untuk mengendalikan perniagaan keluarganya dan ingin mengembangkan lagi. Tapi dia masih ada tiga semester untuk menamatkan pengajiannya.
Hidup ini penuh dengan dugaan dan cabaran. Begitulah juga dengan percintaan ini. Tidak dinamakan cinta sekiranya tanpa kasih, sayang dan rindu. Kasih dengan berpada-pada, sayang dengan sepenuh kejujuran dan keikhlasan serta rindu yang sentiasa memenuhi kamar hidup semenjak munculnya mentari di ufuk timur hinggalah menghilangnya di horizon barat. Perasaan itu tidak pernah luput mahu pun berkurangan dari sanubari ini. Namun ia tergugat juga apabila pepohon cinta yang tertanam ini dilanda dugaan kasih dan menuntut saya supaya membuat penentuan. Pilihan setelah berada di persimpangan dilema kasih. Beberapa bulan selepas saya menamatkan pengajian, ada orang datang ke rumahku untuk merisik khabar.
Kata mereka, ingin sekali merisik khabar jambangan di taman terlarang. Adakah sudah disunting orang ataupun masih harum mekar di taman ini. Bagaimana ingin saya ceritakan pada keluarga tentang ikatan kasih yang telah lama terjalin. Kasih yang mewangi menyelubungi hidup dan menghiasi serta mewarnai suka duka pengalaman hidup ini.
“ Ya Allah! Cubaan apakah yang Engkau timpakan ini. saya tidak mampu menghadapi dugaan ini tanpa bantuan dan petunjuk Mu tuhan. saya ini gadis yang lemah bisa tersasar dan tersesat dalam melayari cinta.
Ya Allah! Sekiranya ketentuan ini adalah terlebih baik buatku, maka Engkau tetapkanlah hati dalam menerimanya. Berikanlah kesabaran padaku tatkala terkenang segala pengalaman yang lalu.
Ya Allah. saya menyerahkan segala ketentuan hidupku ini di tangan Mu wahai tuhan yang mengetahui segala bicara hati ini.”
saya telah menghubungi abang Shidi untuk memberitahu tentang perkara ini. saya ingin meminta pendapatnya bagaimana untuk saya berdepan dan membuat keputusan terhadap masalah ini. Adakah perlu saya memberitahu keluargaku tentang kedudukan sebenar diriku yang telah dilamar cinta orang.
“ Keputusan terletak sepenuhnya di tangan Ilah. Sebarang keputusan yang Ilah buat, abang tetap menyokongnya.” Beritahu dia padaku. Namun jawapannya itu membuatkan saya bertambah buntu dalam mencari jalan penyelesaian.
“ Abang ni buat Ilah tambah buntu tau!” saya bersuara menahan air mata yang mula nak mengalir keluar.
“ Sayang…..dengar elok-elok apa yang ingin abang katakan.”
“ Abang pernah beritahu yang abang tak pernah ikat Ilah dengan sebarang janji. Hanya takdir Allah yang menentukan segalanya. Ilah bebas memilih sesiapa sahaja lelaki yang bakal menjadi teman hidup Ilah. Abang rela dan redha dengan pilihan Ilah asalkan Ilah bahagia dan lakukannya dengan sepenuh hati dan kesedaran Ilah.” Sambungnya lagi. saya sudah tidak dapat menahan sebak yang mula memenuhi empangan ini. Maka mengalirlah air mata ini menuruni lurah-lurah kedukaan dan kesedihan. Betapanya cinta ini dibina suci dengan penuh setia dan kesedaran diri. Tidak pernah ternoda mahupun dinodai. Ia dipelihara suci dari sebarang bisikan-bisikan durja yang mahu merosakkannya.
“ Cubalah abang fahami keadaan Ilah sekarang ni. Ilah tersepit tau.” Esakku memohon belas.
“ Abang faham, abang faham sayang! Abang juga sepertimu sekarang ini. Tapi kepentingan dan kebahagiaanmu itu terlebih pentingnya bagi abang daripada kegembiraan hati abang sendiri. Abang tidak mampu untuk mengikatmu kerana cita-cita yang masih lagi tersisa.”
“ Ilah tak mampu bang, Ilah tak mampu! Cinta abang telah lama bersemi di jiwa ini. Mana mungkin Ilah membelakanginya”
“ Baiklah kiranya itu yang membuatkan Ilah tersepit, kini abang lepaskan Ilah dari cinta abang.” Kata-katanya itu bagaikan belati tajam yang menusuk hatiku yang telah sedia luka ini. Maka menangislah saya sendiri.
Betapa sukarnya untuk menyemai benih cinta yang kadang-kadang mengambil masa seribu tahun lamanya namun terlalu senang merungkaikannya hanya dengan beberapa patah kata yang menghiasi bibir. Begitu juga dengan kenangan walaupun bercinta cuma sehari tetapi kenangan pengalaman tetap jua segar walau seratus tahun.
Entah bagaimana inginku gambarkan tentang perasaan ini, bagaimana inginku lakarkan kesedihan hati ini. Sedangkan inilah cinta pertamaku ketika saya menongkah dewasa. Cinta yang disemai dan dijaga rapi. Tumbuhnya di perkarangan terlarang dihiasi dan disirami kejujuran seorang kekasih dan kehebatan seorang lelaki. Banyak yang saya pelajari darinya. Bagaimana cara nak mendidik hati, cara memperelokkan budi dan teristimewa saya dapat memahami apa itu makna kasih sejati.
“……. boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
Itulah ayat yang selalu dia perdengarkan padaku tentang hakikat kasih sayang. Juga sebuah hadis nabi yang sampai sekarang saya masih mengingatinya tentang sabda Rasulullah S.A.W:
Cintailah kamu akan sesuatu sekadarnya kerana mungkin di suatu hari ia akan menjadi kebencian bagimu. Dan bencilah sesuatu itu sekadarnya kerana mungkin di suatu hari yang lain ia akan menjadi kecintaan bagi kamu
saya kembali tersedar bila terkenangkan semuanya ini. Mungkin ada hikmahnya percintaan antara saya dan dia ternoktah apabila saya diijab kabulkan dengan lelaki lain. Siapa sangka semua ini akan berlaku. Dan benarlah sebagaimana yang dikatakan bahawa siapalah kita untuk mendahului takdir.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".
Ayat itu dia bacakan padaku sewaktu saya benar-benar putus harap dengan apa yang telah berlaku. saya bagaikan rasa kegelapan mula menyelubungi kehidupanku. saya rasakan hidup ini tidak bermakna tanpa kehadirannya. Namun dia tetap tenang menasihati agar saya terus bersabar dan yakin dengan kehendak Allah Taala.
saya masih ingat lagi sewaktu hari persandinganku dulu. Dia datang menemuiku sewaktu saya berada di samping suamiku. Dia tetap tersenyum gembira dengan persandinganku itu. Pelik benar lelaki ini.
“ Selamat pengantin baru. Semoga berbahagia selalu dan berkekalan hingga ke anak cucu.” Ucapnya sambil tangannya menggenggam tangan suamiku. Mereka berdua tersenyum senang. Seolah-olah mereka dah lama kenal.
“ Terima kasih kerana sudi hadir.”
“ Ini untukmu sahabat tanda kenangan dariku. Dan saya serahkan kekasih hatiku ini kepangkuan jagaanmu dengan rela hati dan doa yang berkekalan.” Dia meletakkan bungkusan atas ribaan suamiku.
saya terkejut dengan kata-katanya itu. Tidak terfikirkah dia bahawa bicaranya itu akan membuatkan suamiku cemburu atau salah faham? Tidak terfikirkah dia untuk menyimpan rahsia kisah percintaan antara saya dan dia dari pengetahuan orang lain? Tidak terfikirkah dia bahawa rumah tangga yang baru dibina ini bakal goyah dengan bicaranya itu?
“ Ah tuhan…. Mengapa ini terjadi?” Keluh hatiku sendiri.
Dia kemudiannya berpaling ke arahku. saya tidak mampu untuk menatap wajahnya itu. Namun saya paksakan untuk berbuat demikian. saya lihat matanya berkaca-kaca menahan sebak air empangan yang mahu melimpah.
“ Ilah……!!” Serunya perlahan.
“ Pada hari ini dengan ikhlas hati abang serahkanmu kepangkuan suamimu yang abang hormati. Tiada yang lebih manis dan indah dalam hidup ini melainkan sewaktu abang bahagia bersama cintamu. Namun ketahuilah olehmu bahawa abang tidak mampu untuk menanggung cinta sucimu itu dan terus membawanya ke gerbang bahagia sebagaimana dirimu alami pada hari ini. Hari ini putus sudah cinta kita sebagai pasangan kekasih dan yang kekal hanyalah kasih dan sayang abang seperti saudara kandungmu sendiri.”
“ Maka abang harap dirimu mampu membahagiakan suamimu ini sebagaimana abang telah bahagia dengan cintamu suatu ketika dahulu. Cintailah dia seadanya kerana dialah segala-galanya selepas tuhan dan rasul ikutanmu. Abang doakan dirimu bahagia di sampingnya seorang lelaki yang kini bergelar suami buatmu.” Ujarnya bersendu dan syahdu. saya sudah tidak mampu lagi menahan tangisan hati ini. Manik-manik jernih mula berlumba-lumba menuruni kelopak yang tak mampu menahan terjahannya.
“ Usahlah dirimu menangis di hari berbahagia ini. Senyumlah tanda kesyukuran kerana dikurniakan tuhan seorang lelaki yang terlebih baik untuk menggantikan tempat abang dalam hidup mu.” Dia meletakkan bungkusan hadiah di sisiku sambil berlalu meninggalkan majlis persandinganku itu. saya berpaling melihat suamiku, dia mengangguk-angguk ke arahku. saya tidak tahu apakah makna anggukannya itu.
Sejak dari hari itu. saya cuba untuk melupakan kisah cinta yang lalu. saya ingin membuka lembaran kasih baru di samping suamiku. Siapa sangka, benih mawar yang disemai tapi kemboja yang tumbuh. Cintaku untuk dia rupanya diganti dengan orang lain. Lelaki jenis apakah itu? Takut untuk menghadapi kenyataan dan tak mampu untuk berusaha bagi mengekalkan kisah cinta ini. Selalu menyerahkan pada takdir. Sebagai perempuan. saya masih mampu untuk mempertahankan kesucian cinta ini tapi apabila tiada jaminan buatku darinya mana bisa saya mempertahankannya sendirian. Menghadapi segala cubaan dan dugaan perasaan yang selalu menerkam pintu kesabaran hati. Dan akhirnya saya terpaksa mengikut arus setelah dia sendiri yang melepaskan tali ikatan cinta ini dari hatinya. rasa hormat dan kagum terhadapnya mula terhakis sedikit demi sedikit apabila saya dibiarkan begini.
Tapi setelah beberapa waktu, akhirnya terbongkar juga sebuah kisah yang terselindung disebalik kisah percintaan kami dulu tatkala saya menimang cahaya mataku yang pertama. Rupa-rupanya suamiku juga turut terlibat sebagai watak tambahan dalam kisah duka itu. Tidak kusangka bahawa perkahwinan kami ini adalah rancangan antara suamiku dan abang Shidi. Pada mulanya saya cukup sedih bila mendengarnya dari mulut suamiku. Begitu murah sekali cintaku sehingga ia boleh di ambil bila mahu dan ditolak bila dah jemu? Begitu sekalikah rapuhnya ikatan cinta itu sehingga ia boleh diurai sesuka hati bila-bila masa sahaja?
“ Bukan begitu..” Bela suamiku.
“ Habis tu macam mana?” Soalku kecewa.
“ Dia lakukan semuanya ini adalah untuk kebahagian Ilah. Bukan untuknya. Dia menderita kerana memilih jalan ini. Tapi kerana Ilah, dia sanggup lakukannya.” Jelas suamiku.
saya semakin tidak faham dengan sandiwara mereka ini. Apakah cerita sebenar yang mereka selindungkan dari pengetahuanku?
“ Sebenarnya dia tidak mahu Ilah menjadi janda dalam usia yang masih muda.” Keterangan suamiku itu membuatkan saya terkejut bagaikan dipanah petir.
“ Kenapa abang cakap begitu?!”
“Dia mengidapi penyakit yang sudah kronik. Dia tidak mahu Ilah menanggung kesusahan kerananya.” Kelihatannya sendu dengan kata-kata itu.
“ Kenapa dia tidak pernah memberitahu Ilah?” Soalku seperti tidak percaya dengan apa yang telah diberitahunya.
“ Entahlah abang pun tak tahu.”
Aah…Kenapa abang Rashidi tidak memberitahu saya pasal ini? Kenapa abang tidak beritahu sendiri kepada Ilah? Kenapa abang biarkan Ilah berperasangka terhadap abang?
Ya Allah! Cinta yang terbina ini adalah dengan sepenuh hati. Kuserahkan kepada-Mu segala-galanya dalam menentukan perjalanannya. Kehidupan yang diidamkan adalah umpama suatu impian yang kini telah jadi mimpi. Namun saya tetap bersyukur kerana telah dapat mengecapi cinta yang tulus walaupun hanya sebentar dan kini saya telah dianugerahkan seseorang yang bergelar suami di sisiku.
Ya Allah! Kini saya pasrah dalam menghadapi ketentuan-Mu. Doaku, berilah dia kebahagian yang berkekalan dan tabahkanlah hatinya dalam menempuh dugaan. Sesungguhnya saya telah bahagia bersama cintanya dan anugerahkanlah dengan kebahagian yang terlalu agung buatnya.
saya terlalu sukar untuk membendung perasaan ini bila mengingatkan apa yang telah berlaku. Perasaan cinta yang telah disemai dan dijaga dengan sepenuh perhatian. Cinta dan kasih suci yang tidak pernah ternoda dengan sebarang muslihat jahat yang menguasai hati. Terlalu sukar untuk memiliki lelaki sehebat itu.
Walau apa pun yang berlaku, dia tetap dalam ingatanku. Bukanlah saya ingin membelakangkan suamiku. Tidak sama sekali. Namun kenangan lalu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilupakan. Apatah lagi bila ia melibatkan perasaan kita. Lagipun abang Rashidi rupa-rupanya adalah kawan baik suamiku kini. Mereka bersahabat sejak dibangku sekolah lagi. Namun takdir yang telah menentukan segala-galanya. Cintaku pada orang lain dan pelaminku bersama orang lain. saya tetap bangga kerana cintaku berlaku demikian bukan kerana pengkhianatan, tapi oleh kerana keikhlasan dan pengorbanan seorang kekasih yang terlalu tulus cintanya.
Sehingga kini saya masih lagi teringat saat dia nazak terlantar di katil hospital. Wayar-wayar berselirat menghiasi badannya, namun ia tidak mampu untuk menahan ataupun menyekat kehadiran malaikat maut yang berdiri bersedia untuk memenuhi tuntutan tugas yang sudah tertulis sejak azali lagi.
Dia kelihatan pucat dan begitu kurus sekali, namun masih mampu untuk menghadiahkan senyuman kepada para tetamu yang datang melawatnya tika itu walaupun mereka diselubungi pilu menantikan saat-saat perpisahan yang entah bila akan berlaku. Ahli keluarga dan waris terdekatnya berpusu-pusu datang dan saya serta suamiku hanya mampu memerhati dari jauh.
“ Ya Allah! Ringankanlah penderitaannya dan jemputlah dia dalam keadaan Engkau meredhai dan merinduinya.” Doa hatiku. saya sudah tidak mampu untuk melihat keadaannya begitu.
Dalam keadaan murung dan suram begitu, dia mengamit semua yang hadir untuk mendekatinya. Kami memenuhi permintaannya itu walaupun ada yang sudah terisak-isak dengan tangis.
“ Sa…saya moo…hon aampun dan maaaf daari semua….” Dia cuba untuk berkata-kata walaupun terlalu sukar suara untuk keluar melalui kerongkongnya. Para pelawat semuanya tunduk kesyahduan menahan sedih yang menujah pantai hati.
“ Saa…ya miin…ta halal makan daaan mii…num.”
“ Ya Allah! Gagahkanlah hatiku ini untuk menerima cubaan mu dan tetapkanlah kesabaran dalam menghadapi saat ini serta titipkanlah keredhaan dalam hatiku untuk menerima takdir Mu.” Bisik hatiku.
“ Allahu Akbar!!!” Itulah kalimat terakhir yang saya dengari dari lidah seseorang yang pernah saya cinta dan sehingga kini cintanya tetap menghiasi kebahagiaanku. Pemergiannya itu tetap saya rasai kerana kehilangan seseorang yang telah banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan, keikhlasan dan kesucian sebuah cinta.
“ Ya Allah! Rahmatilah rohnya dan tempatkannya bersama orang-orang soleh. Berikanlah dia keutamaan di sisiMu sebagai seorang yang banyak berjasa kepada agama Mu.” Itulah doaku sewaktu saya menziarahi pusaranya bersama suami dan tiga orang cahaya mataku yang saya bina atas keikhlasan dan kesucian cintanya yang dibawanya bersama untuk menemui tuhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan