ANTARA KELUARGA, AGAMA DAN RIJAL AL-AMIR…MANA SATU PILIHANKU?
Bismillahirrahmanirrahim…
…
Dan Tuhanmu telah berfirman ‘ Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya,di waktu ia memberi pelajaran kepada anaknya: “ hai anakku,janganlah kamu mempersekutukan ALLAH,sesungguhnya mempersekutukan ALLAH adalah benar-benar kezaliman yang besar .”Dan kami perintahkan manusia berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah,dan menyapihnya dalam dua tahun, bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu,hanya kepada-Ku lah kembalimu. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan saya sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu,maka janganlah kamu mengikuti keduanya,dan pergaullilah keduanya dengan baik,dan ikutlah jalan orang yang kembali kepadaKu,kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu,maka ku beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan’ (surah luqman ayat13-15)
Ayat ini betul-betul menyentuh jiwa ana. Tersepit dalam keadaan yang memaksa ana untuk membuat pilihan yang paling utama dalam hidup ana. Antara keluarga dan agama. Memilih salah satu,ana akan kehilangan satu lagi dan hakikatnya ana tidak mahu kehilangan kedua-duanya tapi demi menyelamatkan pegangan ana,ana harus membuat keputusan daripada terus terumbang-ambing begini.Biarlah ana ta’aruf dulu siapa ana dan ujian-ujian Allah yang terpaksa ana tempuhi dalam hidup ana.
Ana merupakan salah seorang annisa’ yang wujud di muka bumi Allah ini sebagai khalifahnya. Ana dilahirkan sebgai islam,keluarga ana juga islam. Ana merupakan bekas pelajar sekolah agama dan kini ana melanjutkan pelajaran peringkat pra-universiti di salah sebuah universiti terkemuka di Malaysia,universiti antarabangsa. Insya-allah,awal tahun 2006 depan,genaplah ana berumur 18 tahun. Ana miliki 4 orang adik-beradik perempuan dan keluarga ana tergolong dalam keluarga yang sederhana.
Ujian buat diri ana telah pun bermula sebelum ana dilahirkan lagi. Bukankah segala perjalanan hidup insan telah tersurat di Loh Mahfuzh? Segala-galanya telah di catatkan dan takkan di ubah melainkan annas itu sendiri yang berusaha mengubahnya. Kadang-kadang ana cemburu melihat hidup insan lain,bahagia tapi ana pasrah dengan ketentuan takdir ilahi.
Ayah ana terkena buatan orang sejak berkahwin dengan ibu ana, mungkin angkara insan yang tidak mahu melihat mereka bersatu. Keluarga ana tahu siapa puncanya tapi tidak baik sekiranya ana menuduh,cukuplah selama ini ana berhati-hati dengan mereka. Sejak itu, ibu dan ayah ana berusaha untuk berubat tapi tidak pulih sehinggalah ana berusia 9 tahun. Ketika inilah,bermulanya takdir yang membawa ana ke lembah yang sering membuatkan ana berperang dengan suasana dan perasaan.
Ketika ini,ayah ana bertemu dengan seorang guru tarekat dan dengan kuasa-Nya, alhamdulillah ayah ana makin pulih tapi ana tak sangka penamat satu cerita bermakna bermulanya cerita yang lebih memilukan dalam hidup ana. Keluarga ana mula terpengaruh dengan ajaran tarekat tersebut,yang bagi ana tidak mengamalkan ajaran islam dan syariatnya yang sebenar. 8 tahun berlalu dan tahun 2005 ini memberi ana tamparan yang hebat. Dalam tempoh 8 tahun ini,ana belajar bersabar,tabah dengan ujian ilahi apabila melihat keluarga ana makin terpesong dari landasan agama. Sakit perasaan ana apabila hanya mampu memendamkan segalanya. Ana tidak punyai kekuatan untuk menegur apatah lagi bertegang urat dengan keluarga Alhamdulillah,ana terpelihara dari turut terpesong dari agama yang amat ana cintai ini. Ana belajar syariah islamiah, quran sunnah dan bahasa arab, ana dapat bezakan mana yang hak dan mana yang batil. Ana hairan melihat annas yang tidak mempunyai masalah dari segi keluarga tetapi tidak mahu mengamalkan syariah islam yang sebenar sedangkan ana terpaksa berjuang mempertahankan iman yamg makin tipis dan hati yang kian goyah dengan ujian ini.
Tahun demi tahun berlalu,keluarga ana semakin jauh dari agama. Mereka tidak lagi mengamalkan syariat islam dalam erti kata lain keluarga ana islam pada nama kini. Mereka tidak solat,tidak puasa dan sebagainya. Tarekat itu mengajar mereka supaya berpegang pada selawat dan cara mereka sendiri untuk beribadat. Ana? Kini ana seolah-olah berada di kedudukan mualaf yang keluarga menentang untuk menjadi islam.
Demi selamatkan pegangan dan aqidah ana, ana terpaksa berpura-pura. Sikap yang paling ana benci tapi sanggup ana lakukan sekiranya itu saja jalan yang tinggal untuk ana. Ana melakukan semua ibadat secara tersembunyi. Ana solat,puasa secara sembunyi. Alhamdulillah, dengan izinNya, hati ana masih teguh dengan islam. Masih membenci kemungkaran, masih mengamalkan islam dan masih mengaku ALLAH ITU ESA.
Ana tidak mahu menjadi anak yang derhaka kepada ibu bapa tapi keadaan sering mendesak ana. Kadangkala hati ini dah putus asa. Astagfirullahilazim…tika itulah ana teringat firman Allah “ tiada seseorang pun yang putus asa dari rahmat Allah melainkan orang-orang kafir sahaja”…nauzubillahimin zalik, ana tak sanggup digelar golongan munafikin dan musyrikin apatah lagi kafirun…
Tahun 2005 ini menguji keteguhan iman ana. Ibu dan adik-beradik ana tidak lagi menutup aurat sejak ana di tingkatan 4, walaupun ana sekolah agama..mereka tidak pernah memperdulikan perasaan ana. Terus-terang, sejak itu, ana tidak lagi rapat dengan ibu ana, ibu dah makin jauh dari ana. Mungkin kerana keengganan ana untuk menurut kata mereka. Untuk apa, bukankah di dalam quran, ana di larang untuk melakukan sesuatu yang mempersendakan agama dan mempersekutukan tuhan? Dan ketika pertengahan tahun ini, ayah mengutarakan sesuatu yang lebih menekan perasaan dan jiwa ana. Ayah mula melarang ana menutup aurat.. ana hanya mendiamkan diri bila di marahi begitu tapi ana tetap tidak melakukannya. Ana pekakkan telinga. Pertama kali ana bergaduh dengan ayah, insan yang selama ini lebih rapat dengan diri ana berbanding ibu. 3 hari ana tidak bertegur sapa dengan ayah, tika itu tuhan saja yang Maha Mengerti segala-galanya tapi ana cuba tabahkan hati. Jika ini yang telah di takdirkan,ana terpaksa hadapi.
Ana tidak pernah memberitahu pada sesiapa masalah ana tapi tuhan bukakan hati ana untuk memberitahu pada kawan-kawan yang ana percayai tahun ini. Sering insan lain melihat ana gembira tapi hakikatnya hati penuh dengan luka. Tapi, Alhamdulillah, ana tidak mempunyai masalah dalam pelajaran,hikmah kebijaksaan yang Allah anugerahkan pada ana amat ana syukuri. Dari kecil sehingga kini, nama ana sebaris dengan insan-insan cemerlang yang lain. Syukur ana tidak kalah dengan emosi ana.Sering ana resah kerana tidak kuat pegangan ana, tapi sejak dibukakan hijab dan ana bermimpi pasal kaabah, hati ana kuat semula. Mimpi itu mengubah diri ana sepenuhnya. Ana semakin istiqamah dalam melakukan ibadat. Solat malam yang sering ana tinggalkan kini mula mengisi kembali ruang hidup ana. Kekuatan ana ialah Allah, Al-quran dan as-sunnah. Hanya itu yang dapat pertahankan ana dari ancaman mereka yang mahu ana meninggalkan apa yang telah di wariskan nabi. Ayah sampai pernah beritahu ana.. ‘ kalau ana tak ikut apa yang mereka pegang,ayah sanggup tak mengaku anak, sanggup untuk halau ana keluar dari rumah’ pedih hati mendengar kata-kata yang keluar dari insan tersayang. Kerana itu, ana mendiamkan diri selama ini. Mungkin kerana ana takut untuk kehilangan keluarga dan juga kerana ana ingin membalas jasa dan pengorbanan ibu dan ayah selama ini.
Perasaan ana sering tertekan sehingga kadang-kala sampai satu tahap ana amat membenci dunia. Ana terlalu rindukan kebenaran dan cinta ilahi. Ana terlalu rindukan rasulullah.
Pernah hati dan iman ana goyah sehingga fikiran ana bercelaru. Ana hilang keyakinan pada sekeliling ana,pada semua. Ana terlalu berkecamuk sehingga akal ana tidak dapat menilai mana hak dan mana batil. Syaitan semakin ingin memesongkan hati ana tapi syukur ana masih teguh berpegang kepada dua perkara : ALLAH itu esa,tiada sekutu baginya dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Selama-lamanya dua kalimah ini tetap akan ana pegang selagi nyawa di kandung badan. Syukur tuhan masih sayangkan ana, tika ana keresahan di berikan ana rahmatnya, ana mendapat ketenangan melalui quran,solat dan kehadiran mereka yang boleh membantu ana,yang sentiasa berkongsi suka duka dan semangat dengan ana termasuklah seorang rijal al-amir.
Ketika berada di tingkatan 5, ana berkenalan dengan seorang rijal yang ana kagumi. Kami sekelas, dia merupakan tahfiz al-quran. Sejak ana mengenalinya, ana lebih mendekatkan diri ana pada agama, nasihatnya mengubah pandangan ana terhadap islam. Ana kagumi tingkah-lakunya terhadap agama. Tanpa sedar wujud satu perasaan melebihi batasan kawan pada dirinya tapi ana pendamkan segala-galanya sehinggalah tahun ini.
Pernah ana bertanya pada diri,layakkah ana untuk berdiri seiring dengannya??
Kata-katanya sering membuat ana terfikir…. “ al-mu’minat lil mu’min wal mu’minun lil mu’minat-wanita beriman adalah untuk lelaki beriman dan lelaki beriman adalah untuk wanita beriman. Jika ana inginkan insan yang beriman, ana juga perlu menjadi seorang yang beriman… berimankah ana selama ini sedang hidup masih dalam kegelapan,mencari-cari cahaya cinta ilahi??
Sejak tamat tingkatan 5, kami memang agak rapat dan sering menghubungi satu sama lain. Tapi ana tak pernah menunjukkan perasaan ana pada dirinya, ana rasa ana tak sesuai buat dirinya. Sering ana tertekan kerana memendam rasa,berpura-pura di depan dia. Sekali lagi ana bersikap hipokrit. Tapi ALLAH Maha Adil dan Maha Mengetahui. Sungguh agung kuasamu Tuhan… tidak ana duga dia juga memendam perasaan pada ana..pada mulanya,kami tidak mahu menjalinkan hubungah istimewa tapi tiada siapa yang boleh membohongi hati sendiri… ana ragu-ragu untuk menerima kerana ana tidak pasti sama ada dia mampu menerima keadaan keluarga ana. Perbezaan antara kami begitu ketara, dia hafiz quran,ana pula hanyalah muslimah biasa. Keluarganya begitu taat pada agama,ayahnya ustaz dan juga merupakan seorang imam,,ibunya pula berjilbat labuh sedangkan keluarga ana terpesong dari agama.. ana tidak mahu merahsiakan kisah keluarga ana darinya. Pada mulanya, ana hanya menceritakan serba sedikit pasal keluarga ana, alhamdulillah dia masih boleh terima. Tapi mungkin telah menjadi ketetapan ilahi, ketabahan ana perlu di goyahkan lagi. Seminggu sebelum bermula semester kedua tahun pertama ana belajar,ana menceritakan kesemua kisah hidup ana ketika dia sedang cuti sebelum dia juga mulakan semester ketiga untuk menghabiskan persijilan tahfiz al-quran yang dia ambil. Dua minggu berlalu, ana masih tidak menerima jawapan yang pasti tentang kami. Ana tahu dengan memberitahu segalanya,ana mengambil risiko tinggi untuk kehilangan dia dari hidup ana. Akhirnya segalanya terjawab,mungkin salah ana kerana terlalu mendesak dan mungkin juga ana tidak cukup beriman dan baik untuk bersama dengannya. Dia memberi keputusan yang ana memang dah jangkakan sebelum ana mempunyai hubungan yang istimewa dengannya. Dia rasa lebih baik kami jadi sahabat saja. Kami salah faham antara satu sama lain ketika itu sehingga menimbulkan pergaduhan. Bila ana tanya “salah ana ke kalau dia nak minta putus dari ana?” katanya “ dia bukan minta putus tapi dia minta jadi sahabat saja.baginya putus tu maknanya tiada apa-apa hubungan lansung.sahabat pun bukan.so, dia bukan minta putus cuma jadi sahabat sahaja.’
Bukankah maksudnya sama sahaja? Ana dan dia tidak lagi mempunyai hubungan istimewa. Ketika artikel ini ditulis, baru tiga hari keputusan itu diberikan. Ana sedih tapi alhamdulillah ana bukan seperti gadis-gadis lain yang begitu teruk kecewa di tinggalkan insan tersayang. Ana belajar kuatkan lagi hati ini untuk hadapi ujian Allah yang ini pula. Ana menyayanginya kerana agama,dia juga begitu tapi jodoh pertemuan di tangan tuhan. Dengan izinNya kami bersama dan dengan izinnya kami berpisah. Walau jalinan kasih kami terlalu singkat tapi ana redha. Jika kami memang di ciptakan untuk satu sama lain,insyaAllah kami akan di satukan semula pada keadaan yang lebih baik dari tika ini. Tapi sekiranya sememangnya dia bukan milik ana, ana sentiasa doakan dirinya bahagia. Semoga dia bertemu dengan jodoh yang lebih sesuai dengan dirinya. Semoga dia bertemu dengan hafizah juga. Walaupun begitu, persahabatan yang masih terjalin antara kami.tidak akan ana sia-siakan. Biarlah takdir yang menentukan segalanya.
Ada hikmah di sebalik setiap apa yang berlaku. Kini, ana tawar hati untuk menjalin kasih dengan sesiapa,bukan kerana kecewa tapi ana perlu menyelesaikan masalah keluarga ana dahulu. Ana perlu membuat keputusan dalam hidup ana secepat mungkin. Ana menghargai rijal al-amir itu yang walaupun kini hanya bergelar sahabat pada ana, tapi masih sudi berkongsi suka duka dengan ana.
Ana cuma mampu berdoa supaya dipeliharakan iman ana dan ditabahkan menghadapi setiap ujian ilahi ini. Kehilangan satu demi satu insan yang ana sayangi amat memeritkan hati.tapi jika sekiranya ini merupakan bukti cinta ilahi terhadap diri ana, akan ana tempuhinya dengan redha.. ‘ janganlah KAU pesongkan hatiku setelah KAU memberi petunjuk kepadaku TUHAN’
Pinta ana, doakan ana mampu pelihara agama ini,pegangan ana ini dan doakan ana tidak terpedaya dengan bisikan syaitan yang makin cuba melemahkan diri ana…
Semoga suatu hari ana mampu menjadi muslimah solehah dalam erti kata yang sebenarnya..semoga tuhan mengampunkan segala dosa-dosa ana dan keluarga ana..semoga dibukakan kembali pintu hati keluarga ana terhadap islam yang sebenar…
Dengan kuasa Allah, tiada yang mustahil dalam dunia ini..semoga Allah perkenankan permintaan ana ini..Insya Allah. Amin..Ya Robbul Alamin
Mazhab (Sosiologi) Pendidikan: Punca Kita Sukar Sependapat
-
Pendahuluan Mengapa perbincangan tentang pendidikan sering kali menimbulkan
perbezaan pendapat? Sudah tentu, ini bermula daripada perbezaan di antara
penda...
2 hari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan