Selasa, 31 Mac 2009

Mimpi Rasulullah S.A.W

Mimpi adalah sesuatu yang sering dialami oleh setiap manusia terutamanya di waktu sedang tidur. Adakala mimpi itu buruk dan ada pula yang baik. Apabila bermimpi sesuatu yang baik seperti sedang membaca Al-Quran,solat, disanjung orang dan seumpamanya, ucapkanlah syukur dan memuji Tuhan. Sebaliknya jika ia mengerikan dan menakutkan sehingga membuat kita keluh kesah, segeralah mengucap istighfar dan memohon keampunan kepada Allah SWT.

Kadang-kadang mimpi itu akan menjadi kenyataan dan kadang-kadang ianya hanyalah mainan tidur. Ulama-ulama dan wali Allah sering dapat melihat alam ghaib seperti suasana di dalam kubur (seksa dan nikmat) melalui mimpi. Petikan dari sebuah hadis yang telah disebut oleh Imam As Sayuthi, Al Tabrani,Al Hakim At Termizi dan Al Isfahani dalam kitab mereka yang bermaksud:

1) Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi yang ajaib malam kelmarin. Aku telah melihat seorang dari umatku telah didatangi oleh Malaikat Maut untuk mengambil nyawa, maka malaikat itu telah terhalang oleh ketaatannya kepada kedua ibu bapanya.

2) Aku melihat juga seorang dari umatku telah disediakan untuk menerima seksa kubur, maka dia telah diselamatkan oleh kesan wuduknya.

3) Aku melihat juga seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan, maka ia telah dibebaskan dari bahayanya oleh berkat zikrullah.

4) Aku melihat juga seorang dari umatku diseret oleh Malaikat Azab maka segera muncul solatnya serta melepaskannya dari azab tersebut.

5) Aku melihat juga seorang dari umatku sedang ditimpa dahaga yang teramat sangat, setiap ia mendatangi sesuatu perigi, dihalang untuk meminumnya, maka segera datang puasanya serta memberinya minum hingga ia merasa puas.

6) Aku melihat juga seorang dari umatku yang mengunjungi kumpulan para nabi, yang ketika itu sedang duduk berkumpul-kumpul, setiap kali dia mendekati mereka, dia diusir dari situ, maka menjelmalah mandi junubnya sambil memimpinnya ke kumpulan itu seraya menunjukkan supaya duduk di sisiku.

7) Aku melihat juga seorang dari umatku dikabusi oleh suasana gelap, di hadapannya gelap, di kanannya gelap, di kirinya gelap, di atasnya gelap, di bawahnya juga gelap, sedang ia dalam keadaan bingung. Maka datanglah pahala haji dan umrahnya, lalu mengeluarkan dari suasana gelap-gelita itu lalu memasukkannya ke dalam suasana terang-benderang.

8) Aku melihat juga seorang dari umatku berbicara kepada Mukminin, akan tetapi tidak seorang pun dari mereka yang mahu berbicara dengannya, maka menjelmalah silaturrahimnya seraya menyeru orang-orang itu, katanya:
"Wahai kaum Mukminin sambutlah bicaranya," lalu mereka pun berbicaralah dengannya.

9) Aku melihat seorang dari umatku sedang menepis-nepis bahang api dan percikannya dari mukanya, maka segera datanglah pahala sedekahnya lalu melindungi muka dan kepalanya dari bahaya api itu.

10) Aku melihat juga seorang dari umatku sedang diseret oleh Malaikat Zabaniah ke merata tempat, maka menjelmalah Amar Makruf dan Nahimunkar seraya menyelamatnya dari cengkaman neraka serta menyerahkannya pula kepada Malaikat Rahmat.

11) Aku melihat juga seorang dari umatku sedang merangkak-rangkak, antaranya dengan Tuhan dipasang tabir, maka menjelmalah budi pekerti seraya memimpinnya sehingga dibuka pemisah tadi dan masuklah ia ke hadrat Allah Taala.

12) Aku melihat juga seorang dari umatku terheret ke sebelah kiri oleh buku catatannya, maka menjelmalah perasaan kepada Allah menukarkan tujuan buku catatan itu ke arah kanan.

13) Aku melihat juga seorang dari umatku terangkat timbangannya, maka menjelmalah anak-anaknya yang meninggal sewaktu kecil lalu menekan timbangan itu sehingga menjadi berat.

14) Aku melihat juga seorang dari umatku sedang berdiri di pinggir Jahanam, maka menjelmalah perasaan gerunnya terhadap seksa Allah Taala lalu membawa jauh dari tempat itu.

15) Aku melihat juga seorang dari umatku terjerumus ke dalam api neraka, maka datanglah air matanya yang mengalir kerana takut kepada Allah Taala lalu menyelamatkanya dari api neraka itu.

16) Aku melihat juga seorang dari umatku sedang meniti sirat manakala seluruh tubuhnya bergoncang seperti bergoncangnya dedaun yang ditiup angin, maka menjelmalah baik sangkanya terhadap Allah Taala lalu mententeramkan kegoncangan itu lalu dengan mudah meniti hingga ke hujung titian itu.

17) Aku melihat juga seorang dari umatku sedang meniti atas titian sirat, kadangkala ia merangkak dan kadangkala ia meniarap, maka menjelmalah solat menyeru kepadaku lalu aku memimpin tangannya dan mengajaknya berdiri dan meniti hingga ke penghujung titian itu.

18) Aku melihat juga seorang dari umatku sedang hampir tiba di pintu syurga, tiba-tiba pintu-pintunya ditutup, maka menjelmalah penyaksiannya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah lalu membukakan pintu-pintu syurga itu untuknya sehingga ia boleh memasukinya.

19) Aku melihat ada ramai orang yang digunting-gunting lidahnya, maka aku bertanya kepada Jibril siapakah mereka itu, maka Jibril menjawab:
"Mereka itulah orang-orang yang suka 'membawa mulut' ke sana ke mari."

20) Aku melihat juga orang-orang yang digantung dengan lidah-lidah mereka, maka aku bertanya Jibril siapakah mereka itu, maka Jibril menjawab: "Mereka itulah orang-orang yang melempar tuduhan terhadap kaum Mukminin dan Mukminat dengan tuduhan tanpa bukti dan palsu."
USAH MERUNGKAI PERIBADI


Bukan mudah untuk menjaga rahsia dan juga menjaga amanah. Kerana rahsia atau amanah itu adalah perkara paling berat dalam kehidupan kita. Begitu juga apabila sesuatu kepercayaan yang telah diletakkan kepada seseorang kepada kita, kepercayaan itu harus digengam erat tanpa sedikit pun perasaan untuk meleraikannya. Sekali kita cuba meleraikannya, seumur hidup kepercayaan itu tidak akan digalang lagi kepada kita.

Bukan mudah untuk mempercayai orang lain selain daripada diri sendiri. Sungguh besar nilai dan harga yang perlu dibayar untuk memastikan bahawa kepercayaan itu tidak dikhianati. Kepercayaan itu hadir daripada sebuah hubungan yang ikhlas, tanpa ada rasa sedikit pun keraguan terlintas. Sebab itu percaya membawa bahagia dan rasa diri berharga.


KISAH SILAM

Kisah silam yang dilalui oleh manusia tidak seharusnya dirungkai dan dicoret-coret isinya. Biarlah ia terus dikambus, dikambus oleh kebaikan dan amalan baik yang dilakukan. Manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan, dan perkara ini sering-kali diulang-ulang dari Quran bahawa kesilapan itu ditebus melalui sesalan. Sesalan yang bersungguh-sungguh dan bertekad untuk tidak melakukannya lagi, iaitu TAUBAT.

“Taubat ialah kembali taat kepada Allah s.w.t dan menyesal dengan bersungguh-sungguh terhadap dosa yang telah dilakukan sama ada dosa besar mahupun dosa kecil serta memohon keampunan dari Allah.”

Mengapa kita suka membaca isi silam orang lain? Adakah perkara itu sebuah keseronokan atau sebuah kelucuan yang harus kita sebar-sebarkan? Ataupun mungkin kita suka mencungkil-cungkil rahsia orang lain yang tersembunyi, kemudian dihebahkan kepada orang lain untuk merendahkan atau menghina seseorang itu? Islam melarang perbuatan mencungkil rahsia yang tersembunyi , kemudian menyebarkannya kepada umum. Perbuatan itu dikategorikan sebagai mengumpat/ghibah.

Rasulullah pernah bertanya makna mengumpat kepada para sahabatnya. Kemudian para sahabatnya mengatakan tidak tahu. Kemudian Rasulullah berkata;

“Mengumpat adalah ketika engkau membicarakan mengenai saudaramu sesuatu yang dia benci.”

Kemudian ada sahabat bertanya:

“Wahai Rasulullah, bagaimana kalau yang kami katakan itu betul-betul ada pada dirinya?”

Baginda menjawab;

“Jika yang kalian katakan itu benar, bererti kalian telah mengumpatnya. Namun jika apa yang kalian katakan itu tidak benar, bererti kalian telah memfitnahnya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Berdasarkan hadith di atas, walaupun sesuatu perkara yang kita sebar-sebarkan itu sekalipun benar, tetapi tidak disukai oleh empunya diri maka ia termasuk dalam kategori mengumpat. Amat malang dan besar dosanya kepada sesiapa yang tergolong dalam golongan ini, kerana mereka yang tergolong dalam golongan ini disamakan dengan orang yang memakan daging saudaranya, sesuai dengan firman Allah;

“Janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentulah kalian akan merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat dan Maha Penyayang.” (al-Hujrat; ayat 12)


YANG TERSEMBUNYI TETAP TERSEMBUNYI

Rasulullah tidak pernah menghebahkan atau membuka keburukan orang lain yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi, walaupun baginda mengetahui keburukan orang tersebut melalui pemberitahuan dari orang lain atau dari perlaku perbuatan tersebut. Hal ini dapat kita selami melalui sebuah hadith yang direkodkan Imam Muslim.

Diceritakan bahawa ada seorang lelaki datang berjumpa Rasulullah, kemudian dia berkata;

“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (meraba-raba), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu.”

Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya; “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”.

Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan terus berlalu pergi. Nabi s.a.w menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah dalam surah al-Hud ayat 114;

“Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat”.

Kemudian ada seorang bertanya kepada rasulullah, “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah?” Jawab Nabi saw, “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Jangan keliru atau terkeliru, Islam memang mengharamkan perbuatan yang mendekati kepada zina, lebih-lebih lagi zina. Tetapi Islam juga mengharamkan kita mendedahkan aib orang lain, iaitu perbuatan dosa yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi dan tidak mengancam kepada keselamatan awam disamping perlaku tersebut berusaha untuk menyembunyikannya.

Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya yang bertajuk ‘Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam’, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq, ada menyatakan “Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Bagaimanapun, jika pelakunya melakukannya secara sembunyi-sembunyi dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintip atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….”

Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi kerja seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya.

Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim dan Bukhari, “Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)”. Justeru, tiada seorang pun mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyi. Terutamanya maksiat hati seperti riyak, kemunafikan, kesombongan, dengki, kedekut dan lain-lainnya. Sekalipun agama menganggapnya sebagai dosa besar, namun tidak dibantah-selagi tidak zahir dalam bentuk amalan. Sebabnya ialah kita diperintahkan untuk menghakimi manusia apa yang kita nampak. Manakala hal-hal yang tersembunyi kita serahkan kepada Allah”.


PERINGATAN

Usahlah kita menilai dan menghukum seseorang itu berdasarkan kisah-kisah silam mereka. Usahlah kita bersangka buruk di atas kekhilafan yang pernah mereka lakukan. Usahlah menghina atau merendahkan darjat mereka di atas kehinaan yang pernah mereka lakukan. Tetapi nilailah kehidupan mereka pada masa kini, adililah mereka atas sikap dan perlakuan mereka pada hari ini, dan hukumilah mereka di atas apa yang mereka dipertanggungjawabkan pada masa kini. Pandanglah dengan pandangan segar, pandangan masa depan tanpa menoleh ke arah peristiwa atau titik-titik hitam di belakang hari.

Moga peringatan ini dititipkan kepada rakan-rakan kita yang lain, selain ia menjadi nasihat dan azimat kepada diri kita sendiri, kerana kehidupan itu ada fasa-fasanya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani” (al-Hujrat)
Ingati Mati Menenangkan Jiwa


Syeikh Said Hawwa Rahimahullah di dalam bukunya "al-Mustakhlas fi tazkiyyatin nafs" telah menyenaraikan bahawa mengingati mati sebagai salah satu cara berkesan untuk menyucikan jiwa manusia dari kotoran mazmumah. Dengan mengingati mati, bukan sahaja boleh menimbulkan rasa sesal di atas dosa yang dilakukan, malah ia boleh melahirkan ketakutan untuk meneruskan perbuatan yang dilarang oleh Allah Taala. Oleh kerana itu Nabi Muhammad s.a.w apabila ditanya siapakah yang paling bijak menurut pandangan baginda, baginda menjawab: (Orang yang bijak) ialah yang paling banyak mengingati mati dan paling kuat bersedia menempuh saat kematian.


Menurut al Imamul Ghazali rahimahullah, manusia terbahagi kepada dua golongan di dalam berhadapan dengan mati: Pertama: Golongan yang tenggelam dengan dunia dan hiburan serta kemewahan. Mereka ini amat takut dengan mati kerana terlalu kasih dan cintakan dunia. Kalau boleh mereka tidak mahu lansung ingatkan mati. Kalau ingatpun mereka akan berusaha mengeluarkan tenaga dan wang ringgit untuk memastikan boleh hidup lama. Atau terlalu bimbang memikirkan bagaimana hartanya akan digunakan oleh anak-anknya nanti.

Golongan ini merasa tidak penting ke Masjid kecuali hari Jumaat atau hari raya sahaja. Waktu lain dihabiskan dengan hiburan. Kerja dunia dilaksanakan bersungguh-sungguh dan bermatia-matian, tetapi amal ibadah dibuat ala kadar sahaja. Soal menutup aurat dianggap terlalu enteng dan remeh. Amat bencikan alim ulama, para hafiz al-quran dan pendakwah. Golongan ini memang susah untuk dilihat di masjid-masjid dan majlis-majlis ilmu, tetapi begitu senang melihat mereka di pesta-pesta hiburan dan konsert-konsert nyanyian yang melalaikan.

Kedua: Golongan yang apabila terdengar tentang kematian atau tazkirah bersangkutan dengan kematian akan timbul rasa takut dan bimbang akan nasib di alam kubur. Kesannya mereka akan bertaubat dan berusaha menjauhkan diri dari maksiat dan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Dalam masa yang sama mereka tidak meninggalkan dunia kerana mengingati mati itu menjadikan mereka sangat mengambil berat tentang ibadah dan ilmu pengetahuan. Hasilnya mereka memahami Islam yang sebenar yang menyuruh umatnya bekerja untuk dunia dan akhirat, manakala ingat mati menjadi benteng memelihara kerja keduniaan mereka supaya tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Imam Ghazali juga telah mengajar kepada kita bagaimanakah cara mengingati mati, antaranya:

1) Ingat kepada rakan atau sahabat yang telah meninggal dunia. Mungkin umur mereka sebaya dengan kita atau penyakit mereka sama dengan kita, oleh itu bila pula Malaikatul maut akan menjemput kita.

2) Ingat bagaimana cara mereka meninggal. Ada yang disebabkan penyakit buah pinggang, darah tinggi, kencing manis atau lemah jantung. Cuba tanya diri kita, apakah kita betul-betul sihat dan tidak akan menghidapi penyakit seperti ini. Atau ada yang ditimpa kemalangan tiba-tiba. Apakah kita boleh terselamat dari kemalangan seumpama ini.

3) Bayangkan kehidupan mereka sebelum mati. Ada yang meninggal dalam keadaan baik kerana penghujung hayatnya ia menjadi ahli masjid dan dekat dengan Allah Taala. Ada yang kita dapat lihat jenazah dengan wajah yang tenang bertemu dengan Allah Taala. Ada juga sahabat yang meninggal tetapi hayatnya penuh dengan maksiat, minum arak, disko, tinggal solat dan sebagainya. Lihatlah wajahnya yang penuh dengan tanda azab dan kengerian.

4) Ziarahi orang sakit dan nazak. Lihat bagaimana azabnya sakaratul maut dan betapa seksanya berhadapan dengan saat kematian.

Diriwayatkan bahawa seorang alim iaitu Ibnu Mutie, apabila tercetus di dalam hatinya tentang rasa kagum melihat rumah besar dan harta benda, terus sahaja ia menangis dan berkata: “Kalau tiada kematian, aku akan mencintai mu dan gembira sekali dengan rumah besarku. Andai kita tidak memasuki lubang kubur yang sempit, tentu mata kita akan terpesona selalu dengan kemewahan duniawi”.

Berkata pula Kaab r.a: “ Barangsiapa mengerti tentang dahsyatnya kematian, maka ringan baginya semua musibah dan kesulitan hidup di dunia yang fana ini”. Imam Syaddad rahimahullah pernah berkata: “Kematian adalah sesuatu yang paling menakutkan bagi mukmin di dunia, maut lebih sakit dari digunting, digergaji dan dicampak di dalam kawah menggelegak. Andaikata mereka yang telah meninggal dunia dibangkitkan dan menceritakan kepada orang yang hidup, nescaya tiada orang yang mengambil berat tentang dunia dan tiada yang akan dapat tidur lena”.

Para pemimpin terdahulu adalah terdiri dari golongan yangs sangat kuat iman dan ketaqwaan mereka. Mereka amat bimbang akan kuasa yang diamanahkan boleh membawa petaka kepada mereka di dalam kubur sekiranya amanah kepimpinan diabaikan atau digunakan sebagai jalan memburu kekayaan. Mereka amat takut jika ada rakyatnya hidup papa kedana sedangkan mereka tenggelam dalam kemewahan dan kemegahan duniawi.

Sebagai contoh, Khalifah Umar b Abdul Aziz boleh dikatakan saban minggu menjemput para ulamak berhimpun di istananya untuk memberikan tazkirah kepadanya tentang kematian. Setiap ulama diberikan kebebasan menegur dan menyentuh tentang keperitan mati dan azab di alam barzakh. Biasanya majlis itu akan diakhiri dengan tangisan khalifah kerana beliau bimbang dan takut akan azab yang menunggu sekiranya berlaku sebarang kezaliman di dalam pemerintahannya.

Hasilnya pemerintahan Khalifah Umar bin Abd Aziz telah berjaya menegakkan kembali kegemilangan pemerintahan Islam di zamannya meskipun hanya berkuasa selama dua setengah tahun. Setiap hari ada sahaja maksiat yang dihapuskan dan syariat yang ditegakkan. Natijahnya maksiat terus berkurangan manakala syariat Islam dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Imam Sufyan at Thauri rahimahullah pula apabila terdengar ada kematian atau terdengar cerita tentang kepedihan mati, sepanjang hari beliau tidak makan dan tidak berseronok.

Seorang ahli sufi pula telah mengungkapkan sajaknya dengan berkata: Lihatlah penguasa-penguasa dunia, Sibuk mengumpul kemewahan segalanya, Apakah dia boleh lepas dari lilitan benang dan lembaran kain kafan? Kematian pastinya akan menjenguk kita. Samada kita pemimpin atau rakyat. Kaya atau Miskin. Tua atau muda. Sihat atau sakit. Oleh itu segeralah bertaubat. Bagi yang sering melakukan maksiat seperti minum arak, meninggalkan solat, berzina , rasuah, berjudi dan sebagainya maka tinggalkanlah segera sebelum terlambat. Agar tidak menyesal apabila dimasukkan ke dalam liang lahad kelak.
Cara Mengurus Kemarahan


Bagaimanakah perasaan anda hari ini? Adakah anda rasa marah? Gembira? Murung? Kecewa? Takut? Bersalah? Tersinggung? Hormat? Bertanggungjawab? Bolehkah anda mengenalpasti dengan tepat apa yang anda rasa? Bolehkah anda cari perkataan-perkataan lain untuk mencerminkan apa yang anda rasa? Kini manusai telah cipta lebih daripada 2000 perkataan untuk menerangkan jenis-jenis perasaan yang dialaminya. Kefahaman tentang tiap-tiap perkataan mengenai perasaan iaitu emosi manusia penting untuk mengenali perasaan sendiri dan perasaan orang lain.


CARA MENGURUS KEMARAHAN

1. Memahami apa yang mencetusnya serta manfaat jangka pendeknya.


Kita perlu memahami dan mengenalpasti pencetus-pencetus yang boleh jadikan kita hilang akal seperti kata-kata tertentu orang, tabiat orang, tidak bertoleransi dan sebagainya. Manfaat atau kebaikan yang boleh didapati daripada pelepasan kemarahan kita ialah mungkin seperti berikut: a) Saya rasa lega
b) Orang mendengar saya
c) Rasa seperti diri sebenar lepas marah
d) Jika tidak marah saya akan menangis sahaja
e) Melaui kemarahan orang tahu pendirian mereka
f) Kemarahan menghilangkan perasaan takut
g) Jika saya tak marah orang akan fikir saya lemah

Manfaat-manfaat kemarahan ini adalah jangka pendek sahaja. Sebenarnya ia boleh dicapai melalui cara lain yang lebih asertif. Melepaskan kemarahan membawa berkat yang sementara sahaja. Pada jangka panjang ia akan menjejaskan perhubungan kita.

2. Belajar menenangkan diri dalam situasi genting.

Bila perasaan marah timbul kita boleh

a) Gantinya dengan aktiviti lain seperti memandang pada benda dan bukan orang, memikir tentang apa yang kita lakukan pada hari ini atau menerangkan suasana bilik kepada diri sendiri atau membilang sampai 10.
b) Mengelakkan melalui atau meninggalkan tempat itu atau minta diri untuk berfikir
c) Menukarkan ritma otak seperti mendengar muzik atau lakukan senaman
d) Guna teknik relaks seperti menarik dan menahan nafas selama 5 saat
e) Kecut dan regangkan otot selama 5 saat
f) Urut bahagian dada dan perut
g) Ubah cara duduk dan regangkan bahu
h) Berimaginasi tentang pemandangan yang tenang atau yang neutral atau ketawa pada diri sendiri kerana situasi itu

3. Belajar cara atau strategi untuk mengelak kemarahan kelak
a) Mengenalpasti samada kemarahan kita itu sihat atau tak sihat iaitu membina atau destruktif
b) Elak daripada menggunakan dadah atau alcohol untuk melupakan sesuatu
c) Baca dan menambahkan ilmu tentang pengurusan kemarahan
d) Bincang dengan orang lain yang berjaya menguruskan kemarahan mereka
e) Ubah kepada gaya hidup yang lebih sihat dan kurang stress
f) Sentiasa menahan dan mencabar setiap pemikiran yang membawa kemarahan
g) Sedari tentang kemarahan yang tersembunyi dalam sindiran atau perli
h) Belajar menjadi lebih asertif atau hadiri kursus untuk menambah kemahiran asertif
i) Meneliti segala punca kemarahan dari dahulu
j) Berbincang dengan kaunselor atau pakar psikologi
k) Menghadiri kursus mengurus kemarahan

Mengikut pakar psikologi marah adalah emosi sekunder. Di belakang emosi marah ini terdapat emosi primer seperti keresahan, duka, hampa, kehilangan, takut dan sebagainya yang terbit kerana sesuatu keperluan tidak diselesai atau dicapai. Sebenarnya kemarahan ini menjejaskan peluang kita untuk mencapai sesuatu keperluan itu. Bila kita dapat mengenalpasti keperluan-keperluan ini kita dapat berusaha untuk mencapainya dan dengan itu kemarahan dapat dikawal atau diurus dengan sihat. Emosi marah adalah satu fenomena rasional yang berlaku di otak kiri kita. Untuk mengurusnya kita perlu menggunakan kedua-dua bahagian otak, khasnya otak kanan dan bahagian lain otak berkenaan dengan emosi untuk mengecam dan sedar bila perasaan marah muncul. Dengan demikian kita dapat menangani kemarahan dengan cepat dan mengekalkan ketenangan kita.


“Angry people are those who are most afraid” -Robert Anthony-

“Orang yang paling kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya” -Imam AL Ghazali-

Rabu, 25 Mac 2009

Saya Sayang Awak
www.iluvislam.com
Pemuja Rahsia (Ina Subir)
Editor : arisHa27


Awak ingat tak tarikh 29 Mac? Awak mesti tak ingat, kan? Tapi awak tau tak yang tarikh tu tarikh yang saya takkan lupakan sepanjang hidup saya? Awak tau kenapa? Sebab pada 29 Mac itulah kita disatukan sebagai suami isteri. Sampai saat ni saya tak percaya. Saya rasa nak ketawa. Kelakar rasanya. Macam mana kita boleh jadi suami isteri sedangkan awak tak pernah rapat dengan saya? Awak tau tak, hari kita bernikah tu, saya tertanya-tanya kenapa awak bernikah dengan saya? Kenapa awak pilih saya? Tapi awak tetap terima nikah dan lafazkan nama saya dalam satu nafas.

Wajah awak nampak tenang bila bersalaman dengan Papa saya. Awak senyum pada Ibu awak yang berada di sisi saya. Perlahan-lahan awak hampiri saya. Abang awak buka bekas cincin dan awak sarungkan cincin itu di jari manis kiri saya. Kemudian bibir awak menyentuh dahi saya. Saya tak berani nak pandang awak. Mata awak tajam. Saya cuma senyum. Semua itu lakonan semata-mata, kan? Bergetar tangan saya waktu cium tangan awak. Awak percaya tak itu kali pertama saya bersalam dengan seorang lelaki? Dan lelaki itu adalah awak, suami saya.

Ibu awak peluk saya. Kemudian saya nampak Mama. Saya rasa sedih sangat. Hari tu saya dah jadi milik awak sepenuhnya. Selepas majlis bernikah, awak balik ke rumah awak. Majlis perkahwinan kita diadakan pada keesokan harinya. Mama bertekad nak buat besar-besaran walaupun saya menolak. Bagi saya, majlis persandingan tak perlu. Cukup sekadar adakan kenduri tapi Mama tak setuju. Awak tau tak saya langsung tak pernah ambil tahu tentang majlis perkahwinan saya? Entahlah, saya pun tak tahu kenapa. Mungkin saya kerana saya sebenarnya tak percaya yang saya akan berkahwin dengan awak.

Macam mana saya nak cakap, ya? Awak tau tak saya admire awak selama ni? Mesti awak terfikir sejak bila saya kenal awak, kan? Awak tak ingat ke? Dulu kita belajar di universiti yang sama sewaktu diploma. Awak pelajar diploma kejuruteraan awam UTMKL, seksyen 3, kan? Saya tau banyak perkara tentang awak. Saya tahu warna kesukaan awak, hobi awak, makanan kegemaran awak … Girlfriend awak pun saya kenal. Semua tu saya kawan saya, Izzah yang beritahu. Izzah girlfriend awak, kan? Atau sepatutnya saya kata salah seorang yang pernah jadi girlfriend awak?

Saya tau awak ada banyak girlfriend. Maklumlah, awak seorang lelaki yang ada banyak kelebihan. Kalau awak senyum je mesti ada yang akan jatuh cinta. Macam saya. Saya temankan Izzah bertemu dengan awak buat pertama kali awak berdua berjumpa. Kelakar rasanya bila saya pun jatuh cinta dengan awak. Tapi Izzah tak pernah tau perasaan saya terhadap awak. Awak tau tak betapa terseksanya saya setiap kali Izzah ceritakan tentang awak? Izzah ceritakan yang awak hadiahkan dia rantai, bantal bentuk hati … Apa lagi ya? Banyak sangat yang awak beri pada Izzah.

Saya cemburu sangat tiap kali Izzah bergayut dengan awak dalam phone. Saya terfikir kalaulah saya dapat miliki awak, adakah awak akan layan saya macam awak layan Izzah? Saya jadi saksi percintaan awak dengan Izzah. Izzah selalu suruh saya temankan bila awak nak jumpa dengan dia. Entahlah awak, Saya jatuh cinta sangat dengan awak sampai saya sanggup khianati kawan saya. Izzah tak tau saya ambil nombor handphone awak. Saya beli SIM card baru dan mula kacau awak. Saya tak sangka awak akan layan saya.

Izzah tak pernah tau saya kacau awak and awak pun tak pernah beritahu Izzah. Cuma pernah sekali Izzah mengadu kat saya yang awak dah semakin jauh dari dia. Saya terfikir, sayakah penyebabnya? Tapi awak jarang balas mesej saya. Cuma sesekali awak akan balas mesej saya, bertanyakan siapa saya. Saya tak pernah bagitau dan awak tak pernah tau, walaupun kita dah berkahwin. Saya mesej awak, saya berterus terang yang saya sukakan awak. Entah apa perasaan awak masa tu, kan?

Awak ingat tak rak 108 kat Perpustakaan Sultanah Zanariah? Rak itulah yang jadi tempat kita bertukar banyak benda. Masa birthday awak, saya hadiahkan awak T-shirt warna hitam. Saya rasa happy sangat bila saya nampak pakai baju tu. Awak nampak menyerlah bila pakai baju warna hitam. Tiba satu masa, kita jadi rapat walaupun masa tu awak masih dengan Izzah. Kita berbual tentang banyak perkara termasuklah study. Kalau saya ada hint untuk final exam, rak 108 tu lah yang awak akan cari. Saya rasa tak percaya bila awak bagi hadiah untuk saya masa birthday saya.

Saya ingatkan awak tak ingat. Awak bagi saya tudung warna putih. Cantik tudung tu. Tapi saya tak pernah pakai waktu di kampus. Ye la, kalau saya pakai, mesti awak kenal saya, kan? Tapi tudung tu la yang saya paling sayang sebabnya awak yang bagi. Hehehe. Bukan sekali dua awak tanya siapa saya. Nama saya pun awak tak tau. Awak pernah gurau dengan saya. Awak kata kalau saya tak bagitau nama saya, awak akan panggil saya sayang. Saya ketawa besar walaupun dalam hati saya mula risau. Izzah selalu mengadu dengan saya yang awak mula tak hiraukan dia.

Setiap kali awak telefon, saya akan keluar dari blok hostel saya sebab saya tak nak ada orang tau yang saya sedang berbual dengan awak. Terutamanya Izzah. Awak rasa saya ni jenis yang kawan makan kawan ke? Saya bukan nak memiliki awak. Saya cuma nak jadi sebahagian daripada hidup awak. Tak sangka akhirnya saya memang menjadi sebahagian daripada hidup awak, kan? Menjadi isteri awak bukanlah sesuatu yang saya pernah fikirkan. Awak akan jatuh hati pada saya juga tak pernah saya fikirkan. Saya menangis waktu awak luahkan perasaan awak.

Bukan saya tak sukakan awak. Saya cintakan awak sepenuh hati saya tapi saya sedih saya tak dapat jadi milik awak sebab yang awak cintakan sebenarnya bukanlah diri saya, Ariana tetapi Rie. Rie cumalah bayang-bayang. Walaupun semua perkara yang saya ceritakan pada awak adalah mengenai saya, Ariana tapi bagi awak, saya Rie. Awak kenal Ariana tapi awak tak ada perasaan pada dia. Awak sebenarnya tak ada perasaan pada saya. Saya juga sedih sebab saya khianati kawan baik saya sendiri. Kenapa awak sukakan Rie dan sanggup tolak Izzah?

Selepas saya menangis, Izzah datang bertemu saya dalam air mata. Awak tinggalkan Izzah! Kerana saya! Saya tak tau siapa yang kejam. Sayakah yang membuatkan Izzah menangis dan membuatkan awak terluka? Atau awak yang membuatkan Izzah menangis dan menderita sendiri akhirnya? Maafkan saya, awak … Bukan niat saya nak mempermainkan cinta awak. Percayalah, saya cintakan awak tapi orang yang awak cintai bukanlah saya. Saya tau awak akan tolak saya jika awak mengenali saya. Saya tak macam awak yang punya segalanya. Saya tak secantik Izzah, tak sebaik Izzah.

Awak pun tau saya macam mana, kan? Pertama kali Mama dan Papa beritahu yang keluarga awak datang meminang saya, perkara pertama yang saya fikir ialah adakah awak dah tau yang saya Rie ke? Kenapa awak memilih saya? Kenapa tak orang lain yang sepadan dengan awak? Awak tak takut orang lain mengata awak kerana memilih perempuan yang tidak sepadan dengan awak? Saya rasa rendah diri sangat bila kita berdua duduk bersanding di atas pelamin. Saya dapat dengar orang memperkatakan dengan kita.

Macam Prince Charming and the Witch. Hari yang sepatutnya menjadi hari bersejarah, hari paling bahagia dalam hidup saya jadi hari yang paling mendukacitakan. Saya terasa kerdil sangat di samping awak. Tapi awak cuma senyum. Itulah yang melapangkan dada saya, yang membuatkan semua kemarahan saya hilang. Semasa awak senyum pada saya, saya terfikir. Kita sudah lama tidak bertemu sejak kita mengikut haluan masing-masing. Awak melanjutkan pelajaran ke Jepun sedangkan saya hanya mampu menyambung pelajaran di UTM Skudai dalam bidang ukur bahan.

Saya tak tahu macam mana awak boleh berjumpa dengan saya. Saya tak tau macam mana awak boleh meminang saya. Kita tak pernah berjumpa sejak hari konvokesyen, kan? Sewaktu kita hampir disatukan pun kita tak pernah bertemu, kan? Kenapa awak pilih saya? Takkanlah orang seperti awak tak ada pilihan sendiri? Bila kita berkahwin, salah satu perkara yang saya paling gerunkan adalah malam pertama. Saya mula terfikir yang bukan-bukan tentang malam pertama.

Tapi saya tak sangka saya tak pernah dapat mengecapi malam pertama yang diidamkan pasangan lain. Awak tak sentuh saya langsung. Bercakap dengan saya pun tidak. Awak dingin. Saya cuba pujuk hati saya sendiri. Bagi saya, mungkin awak segan. Saya pun segan dengan awak. Ye la, awak ex-boyfriend kawan saya dan saya kawan ex-girlfriend awak. Oh ya, bercakap tentang Izzah, dia ada datang waktu majlis perkahwinan kita. Awak perasan tak? Ke awak dah lupakan Izzah? Awak tak tau betapa risaunya saya waktu saya call dia.

Dia tanya, siapa bakal pasangan hidup saya yang bertuah tu? Lidah saya kelu. Tapi saya berterus terang. Saya katakan pada saya yang saya tak pernah berjumpa dengan awak sama sekali dan saya tak ada idea apa yang menyebabkan awak meminang saya. Syukurlah Izzah memahami. Katanya, apa yang sudah berlalu biarkan berlalu dan kebahagiaan saya adalah kebahagiaan baginya. Tapi kenapa awak tak macam tu? Kebahagiaan saya awak tak pernah fikir pun. Awak berikan saya segalanya. Tapi awak tak pernah berikan saya kasih sayang.

Seminggu selepas kita berkahwin, awak luahkan hasrat awak untuk berpindah. Awak kata, awak dah beli rumah. Saya terkejut. Awak tak pernah beritahu saya pun. Mama tak bersetuju sebab Mama tak nak berjauhan dari saya tapi saya katakan pada Mama yang tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya. Jika awak nak berpindah ke mana sekali pun, saya akan ikut bersama awak sebab tempat saya adalah di sisi awak. Kemesraan kita di hadapan Mama dan Papa cumalah lakonan. Di belakang mereka, kita umpama batu yang tak berperasaan.

Awak jangan cuba kata yang saya tak pernah cuba untuk bermesra dengan awak! Saya dah cuba yang terbaik. Setiap kali kita berdua dalam bilik, saya akan cuba berbual dengan awak. Saya bertanya tentang semua perkara tentang awak tapi awak bercakap seakan terpaksa. Kecil hati saya. Tapi saya tak pernah berhenti mencuba. Selepas kita berkahwin, awak tak izinkan saya bekerja. Saya akur. Saya tinggal di rumah itu, sendirian. Saya rasakan diri saya tak ubah seperti robot. Saya akan bangun awal pagi sebelum awak bangun untuk masak sarapan.

Sebelum azan subuh, saya akan kejutkan awak untuk solat. Kita akan bersolat berjemaah. Kita bersarapan bersama dan saya akan temani awak sehingga ke pintu untuk bersalam dengan awak sebelum awak pergi kerja. Setiap pagi saya tak pernah lupa untuk minta maaf jika saya ada silap. Entahlah, saya dah terbiasa untuk meminta maaf. Tapi tu semua berlaku dalam seminggu saja. Satu pagi, bila saya bangun, awak tak ada di sisi saya. Dada saya berdebar kencang. Saya ketuk pintu bilik air tapi awak tak ada.

Saya ke ruang tamu tapi awak tak ada. Dalam perasaan risau saya lihat semua barang-barang penting awak masih ada. Saya buka pintu bilik kedua. Awak sedang tidur dengan lena. Air mata saya tumpah. Kenapa awak buat macam ni? Hati saya betul-betul terluka tapi saya tak pernah luahkan. Pagi tu saya siapkan sarapan dalam air mata. Saya terfikir apa salah saya sebenarnya sampai awak buat saya macam batu. Saya tetap kejutkan awak macam biasa. Awak nampak terkejut tapi saya gagahkan diri saya untuk senyum.

Dengan suara yang lembut saya suruh awak bangun dan mengimamkan solat subuh. Pagi itu berbeza sekali rasanya. Di minda saya cuma terfikir satu perkara. Awak sebenarnya tak ikhlas memperisterikan saya. Tapi saya tak tau kenapa. Kenapa perlu awak ikat diri awak dalam perkahwinan ini dan seksa saya sebegini. Saya tetap maniskan muka walaupun saat tu perasaan saya dah mati. Saya tetap salam dan cium tangan awak dan tak lupa ucapkan maaf. Awak nampak serba salah tapi saya tetap cuba untuk tak kelihatan terluka.

‘Smlm pns, sbb 2 sy tdur kt blik lain.’

Saya tersenyum pahit waktu baca mesej dari awak. Kenapa awak berpura-pura dengan saya? Panas? Dengan aircond yang terpasang pada 16 darjah? Saya rasa marah sangat tapi saya biarkan perasaan tu berlalu. Entahlah awak, Saya sendiri terfikir kenapa saya selalu abaikan perasaan saya. Malam-malam seterusnya berlalu dengan awak mengasingkan diri di bilik kedua. Saya tak pernah bertanya. Saya diamkan diri tapi saya tak pernah lupakan tanggungjawab saya. Alhamdulillah, awak pun tak pernah abaikan kewajipan awak untuk berikan nafkah zahir pada saya.

Bila saya fikirkan balik, kita tak pernah keluar berdua kecuali sewaktu ke rumah saya atau ke rumah awak. Setiap kali keluar membeli barang dapur atau keperluan kita, saya akan pergi sendiri. Saya tidak kisah kerana saya boleh berdikari sendiri tapi saya terfikir. Apa status saya di mata awak? Saya isteri awak atau cuma orang gaji awak? Saya jaga dan uruskan keperluan awak sendirian. Kadang-kadang saya terserempak dengan kawan-kawan saya sewaktu saya shopping sendirian. Semua bertanya di mana awak.

Lidah saya kelu untuk berkata. Alasan saya cumalah satu. Awak sedang bekerja atau awak outstation. Sedangkan saya tak tahu awak di mana! Pernah sekali awak hantar mesej pada saya. Kita berhubung dengan mesej. Awak tak pernah call saya dan setiap kali saya call, awak tak pernah jawap. Alasan awak, awak sedang bermesyuarat. Tapi takkanlah awak ada mesyuarat setiap hari, kan? Hari demi hari saya jadi lali dan give up untuk call awak. Awak kata ada dinner syarikat di Dewan Perdana Felda dan semua pekerja terpaksa bawa pasangan masing-masing.

Saya terasa kecil hati. ‘Terpaksa’ bawa pasangan masing-masing. Awak terpaksa ajak saya rupanya. Saya sediakan pakaian awak untuk dinner malam itu. Saya sengaja pilih baju batik yang sepadan dengan baju saya. Untuk dinner malam tu, saya keluar ke butik untuk make up wajah saya. Saya nak nampak sepadan dengan awak. Tapi malam tu tak seindah yang saya harapkan. Saya tak nafikan semua orang memuji saya tapi awak sedikit pun tak pandang saya. Usahkan pujian, bercakap dengan saya pun tidak.

Di depan kawan-kawan awak, awak peluk pinggang saya, awak pegang tangan saya. Hati saya benci sangat awak buat macam tu. Tapi saya halal untuk awak. Saya terpaksa relakan awak buat begitu. Bila majlis berakhir, awak minta saya tunggu di kereta. Saya cuma menurut tetapi kemudian saya terasa ingin pergi ke tandas. Sewaktu dalam perjalanan tu, mata saya sendiri saksikan awak sedang bersama seorang perempuan. Hancur luluh hati saya, awak! Saya pujuk hati saya. Saya katakan pada diri saya yang dia hanyalah rakan sekerja awak tapi awak dan dia terlalu mesra!

Awak genggam tangan dia, awak belai pipi dia. Mustahil awak hanya berkawan dengan dia, kan? Niat saya untuk ke tandas terus mati. Saya kembali ke kereta, melayan duka sehingga awak datang. Awak tak cakap sepatah pun. Saya hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan pulang sedangkan awak bersiul bahagia. Tiba di rumah saya terus membersihkan diri. Saya bermunajat kepadaNya malam itu. Saya cuba hilangkan pedih di hati saya dengan berdoa pada ALLAH. Awak ingat tak pernah sekali Ibu awak datang tinggal di rumah kita selama tiga hari? Itulah saat yang paling bahagia saya rasakan.

Sebab awak akan layan saya dengan baik walaupun itu semua lakonan. Sekurang-kurangnya dengan adanya Ibu, saya bukan batu yang awak boleh abaikan sesuka hati awak. Setiap pagi saya akan bangun dan sediakan sarapan. Kemudian saya akan berjalan-jalan dengan Ibu. Saya tak sendirian! Awak pulang awal ke rumah semasa Ibu tinggal di rumah kita. Saya bahagia, awak … Sebab kalau Ibu tak ada, awak mesti balik lewat. Saya tetap tunggu awak walaupun ada kalanya saya menunggu sehingga tertidur.

Bila awak balik, awak akan kejutkan saya supaya tidur di bilik. Tapi perkara pertama yang saya akan tanya adakah awak dah makan. Saya siapkan makan malam setiap hari walaupun terpaksa tunggu awak balik. Awak akan kata yang awak dah makan tapi awak akan tetap makan masakan saya. Saya tahu awak terpaksa tapi saya tetap hargai awak. Saya kagum dengan awak sebab awak berterus terang dengan saya. Satu hari, waktu saya tengah mengemas, wallet awak jatuh. Saya nampak ada gambar perempuan dalam wallet awak. Dialah perempuan yang bersama awak malam itu.

Awak cepat-cepat tutup dan simpan wallet awak. Tapi saya cuba senyum dan tanya pada awak siapa perempuan itu dengan lemah lembut walaupun hati saya dah remuk saat tu. Awak kata dia girlfriend awak. Awak dah bercinta dengan dia sejak di Jepun lagi. Saya cuma senyum. Hati saya menangis. Saya memang tak sepadan dengan awak. Entah apa awak fikir tentang saya. Mungkin awak fakir saya pun tak serius dengan perkahwinan kita. Awak silap. Perkahwinan kita ni satu rahmat dan kebahagiaan buat diri saya.

Saya tak pernah merasa sebahagia ini sebelum ini. Tapi saya juga tak pernah rasa sederita ini sebelum ini. Awak berikan saya cahaya kebahagiaan tapi dalam masa yang sama suasana terlalu gelap sehingga menyeksa saya untuk mengejar cahaya kebahagiaan itu. Satu malam, kita duduk berdua di meja makan. Kita berbincang. Awak tanyakan pada saya sama ada mahu teruskan perkahwinan ini atau tidak. Sakit hati saya dengar kata-kata awak. Awak seakan-akan mahu memutuskan ikatan halal antara kita. Saya menangis di depan awak.

Sumpah, saya tak pernah mahu memutuskan ikatan perkahwinan ini walau macam mana pun awak layan saya. Sebab saya sayangkan awak. Awak bingung. Saya katakan pada awak yang saya tidak kisah jika awak hendak menikahi teman wanita awak tetapi jangan putuskan ikatan perkahwinan kita. Entahlah, bagi saya perkahwinan dengan awak adalah segala-galanya. Awak akur. Tapi jujur saya katakan yang saya menipu kalau saya tak ada perasaan setiap kali lihat awak tersenyum bahagia bila berbual dengan girlfriend awak.

Setiap kali saya melalui bilik kedua, mesti saya dengar awak ketawa. Saya selalu terbayang betapa bahagianya saya kalau awak sedang ketawa dengan saya? Sejak saya beritahu saya tak kisah tentang hubungan awak dengan dia, kita jadi rapat. Sekurang-kurangnya awak tak lagi diamkan diri macam dulu. Sejak hari tu awak mesti senyum dengan saya dan tegur saya. Awak puji saya. Walaupun saya tak tau awak ikhlas atau tak, saya tetap gembira. Awak tak segan silu ceritakan pada saya tentang girlfriend awak. Awak minta nasihat saya. Awak kata saya sahabat awak. Pilu hati saya, awak.

Tapi tak apalah, saya sanggup hadapi semua ini asalkan awak ada dengan saya. Setiap kali awak ada masalah dengan girlfriend awak, awak akan ceritakan pada saya. Walaupun hati saya pedih, saya tetap bahagia. Satu malam, awak pulang lewat. Mata awak sembap macam baru lepas menangis. Awak terus masuk bilik, langsung tak bertegur dengan saya yang ada depan mata awak. Saya risau tengok awak sedih. Saya ketuk pintu bilik awak. Awak tak buka pintu. Tanpa keizinan awak, saya masuk bilik awak. Awak duduk menangis di birai katil.

Saya duduk sebelah awak, pegang tangan awak. Awak genggam tangan saya kuat-kuat. Esakan awak makin kuat. Saya tak cakap sepatah perkataan pun. Saya biarkan awak menangis sebab bagi saya awak cuma perlu luahkan segalanya. Mungkin bukan pada saya tetapi pada diri awak sendiri. Lama awak menangis sampai air mata saya pun hampir mengalir. Saya sedih tengok awak menangis. Saya tak nak sesiapa pun lukakan perasaan awak. Saya biarkan awak peluk saya. Basah bahu saya dengan air mata awak. Jantung saya berdegup kuat bila awak peluk.

Inilah kali pertama awak peluk saya dengan keikhlasan walaupun mungkin awak tak sedar awak sedang memeluk saya. Awak baring di riba saya. Basah seluar tidur saya dengan air mata awak tapi saya tetap biarkan. Saya beranikan diri untuk belai rambut awak. Akhirnya awak tertidur di riba saya. Saya tak sampai hati untuk kejutkan awak. Waktu awak tidur itulah saya renung awak puas-puas. Jahat ke saya kalau saya rasa bahagia bila awak sedang sedih? Saya bahagia awak terima saya di saat awak memerlukan seseorang.

Saya terbangun bila saya terdengar suara awak. Saya terkejut sebab awak tak tidur di riba saya tetapi di sisi saya. Awak peluk pinggang saya. Dada saya berdebar. Dahi awak berpeluh. Baju awak basah sebab peluh. Saya sentuh dahi awak. Panas. Awak demam! Cepat-cepat saya ambil tuala kecil dan ais. Saya lap peluh awak dan tekap dahi awak dengan ais. Awak pegang tangan saya waktu saya lap dahi awak. Saya ingatkan awak sedar tapi rupanya awak sedang mengigau. Awak sebutkan nama Diya. Mengalir air mata saya, awak.

Walaupun saya tahu awak tak sedar, tapi saya tak dapat kawal hati saya daripada terluka. Kenapa dia yang awak rindui? Kenapa nama dia yang awak sebut? Keesokan harinya apabila saya membuka mata, saya sedang berbaring di katil awak. Awak tak ada. Saya terus cari awak tapi awak tak ada. Di meja di bilik saya, awak sisipkan sekeping nota.

‘Terima kasih sebab jaga saya malam tadi. Malam ni saya balik lewat. Jangan tunggu saya.’

Saya tertanya … Bila awak tulis nota tu, ada tak awak fikirkan tentang perasaan saya? Saya koyak nota awak dan campakkan ke tong sampah. Saya benci awak layan saya macam ni! Saya hantar mesej pada awak untuk beritahu yang saya akan tinggal di rumah Mama selama beberapa hari. Sebelum saya pergi, saya siapkan keperluan awak untuk seminggu. Tapi sebenarnya saya tak pergi ke rumah Mama. Saya bercuti sendirian di Cameron Highlands. Percutian saya bukanlah untuk bergembira. Saya banyak berfikir di sana. Saya mula fikirkan pertanyaan awak dulu untuk berpisah.

Saya mula menyesali keputusan saya untuk meneruskan ikatan kita. Sebab saya menderita! Tapi saya tak salahkan awak. Saya sendiri yang lukakan perasaan saya, kan? Setiap hari saya menangis. Di sana, saya berjalan-jalan sendirian sedangkan setiap orang di sana berteman. Mereka nampak bahagia, awak! Tapi kenapa kita tak bahagia? Sebab hati awak bukanlah untuk saya. Semasa di Cameron Highlands, saya matikan handphone saya. Walaupun hati saya meronta untuk mengaktifkan handphone tapi saya kuatkan hati saya.

Setiap hari saya tertanya, awak pernah ke cari saya? Selepas seminggu, barulah saya pulang. Saya kuncikan pintu bilik dan tak tunggu awak balik. Hati saya meronta nak lihat wajah orang yang paling saya rindui tapi saya takut saya menangis. Saya tak nak menangis di depan awak. Saya tak nak awak fikir saya nak dapatkan perhatian awak. Saya tetap tunggu awak sebenarnya. Pukul 10 malam barulah awak pulang. Awak berhenti di sisi kereta saya dan pandang ke arah bilik saya. Saya sembunyikan diri. Kemudian awak masuk ke dalam rumah.

Saya berdoa awak akan ketuk pintu bilik saya tapi yang saya dengar cumalah awak menutup pintu bilik awak. Air mata saya mengalir. Awak mesti tak rasa apa-apa bila saya tak ada, kan? Pagi itu saya mulakan kembali rutin harian saya. Selesai memasak sarapan pagi, saya ketuk pintu bilik awak. Tapi awak tak ada. Bilik awak kemas macam awak tak balik semalam. Di atas meja ada nota untuk saya.

‘Saya outstation tiga hari di JB. Nanti saya belikan something utk awak. Jaga diri baik-baik.’

Entahlah apa yang saya rasa waktu tu. Saya dah lupa. Saya cuma tutup pintu bilik awak dan saya berkemas. Saya pergi ke rumah Mama. Saya tak beritahu awak pun. Mama tak pernah beritahu yang awak cari saya semasa seminggu saya di Cameron. Awak tak pernah cari saya rupanya. Awak tak pernah hiraukan tentang diri saya. Selepas tiga hari, awak jemput saya di rumah Mama. Saya tak tau macam mana awak boleh cari saya di rumah Mama. Awak nampak penat.

Saya terus siapkan makanan untuk awak. Awak nampak berselera benar. Awak kata pada Mama yang awak rindukan masakan saya setelah berjauhan selama beberapa hari dengan saya. Awak tipu, kan? Awak kata awak penat jadi awak nak tidur di rumah Mama. Saya tak suka! Depan Mama saya pujuk awak untuk balik tapi awak menolak. Saya tak nak duduk di bilik yang sama dengan awak. Saya rimas awak ada dekat dengan saya. Saya bencikan awak! Bila awak minta izin untuk masuk ke bilik, saya sediakan semuanya untuk awak. Kemudian saya keluar dari bilik untuk menonton TV.

Semua tu alasan semata-mata. Awak datang jumpa saya. Mama senyum lihat awak datang sedangkan perasaan saya membara dalam hati. Saya berpura-pura mesra di hadapan Mama. Sejam kemudian awak ajak saya tidur. Terbeliak mata saya dengar awak bahasakan diri awak Abang. Saya menolak dengan mengatakan saya mahu menonton TV tapi Mama mencubit lengan saya. Dengan perasaan terpaksa, saya ikut awak masuk ke dalam bilik. Dalam bilik, saya mendiamkan diri. Saya duduk di atas kerusi. Perlahan-lahan awak datang hampiri saya.

"Boleh kita bercakap?" Awak meminta izin. Saya membatukan diri tetapi kemudian saya menganggukkan kepala. "Awak pergi mana minggu lepas?" Tenang awak bertanya. "Rumah ni la." Jawab saya pendek. Saya tahu menipu hukumnya berdosa tapi salahkah saya kerana tak mahu melukai perasaan saya sendiri? Saya berhak untuk gembira dan bahagia. "Saya tahu awak menipu." Saya mendiamkan diri. Dalam hati saya bertanya. Kalau awak dah tau saya menipu, kenapa awak perlu tanya? Kenapa tak berterus terang?

"Jangan buat macam tu lagi. Saya risau bila Mama cakap awak tak ada datang pun. Saya terpaksa tipu Mama katakan yang awak ada sedangkan saya cari awak setengah mati. Dah lah awak off handphone." Awak luahkan perasaan marah awak. Saya terfikir, Cuma sebab itu pun awak nak marah? Macam mana dengan saya yang terpaksa memendam rasa selama hampir setahun kita berkahwin? Sekali pun saya tak pernah ungkit! Tapi saya tak nak panjangkan cerita. Awak tak kenal saya. Saya sebenarnya keras kepala tapi demi awak saya sanggup berubah.

Saya rasa awak tahu saya sedang marah. Sejak hari tu, awak selalu pulang awal dan cuba untuk bercakap dengan saya. Tapi biasanya saya mendiamkan diri dan hanya menjawab sepatah untuk semua soalan awak. Saya cuba penuhi tanggungjawab awak. Saya tak lupa untuk kejutkan awak, sediakan sarapan awak, siapkan pakaian untuk awak bekerja. Tapi saya cuba untuk mengelak daripada berdua dengan awak. Perasaan saya sentiasa terganggu bila awak ada dengan saya. Awak pernah tanya kenapa tak makan bersama. Saya cuma katakan yang saya kenyang atau tidak berselera.

Bersama awak, saya seakan patung tak bernyawa, mati. Satu hari, awak hantar mesej. Awak nak ajak makan di luar. Saya menolak. Bagi saya, lebih baik saya makan sendirian daripada makan bersama awak. Saya katakan saya tak ada mood untuk keluar. Tapi awak memaksa. Malam tu istimewa rupanya. Awak hadiahkan saya mawar dan seutas gelang tangan. Awak mohon maaf untuk semua kesilapan awak. Saya rasa tak percaya. Kenapa tiba-tiba awak berubah? Apa yang menyebabkan awak berubah? Tapi saya gembira, awak !

Malam itu kita pulang lewat kerana awak berkeras mahu menikmati suasana malam di KLCC. Itulah kali pertama kita berbual dan ketawa bersama. Terima kasih, awak!! Kerana sudi membahagiakan saya saat itu. Hari yang mendatang membahagiakan saya. Saya kembali ke rutin dahulu. Awak kerap pulang awal ke rumah dan kita menghabiskan masa berdua. Walaupun kita masih tidur berasingan seperti dulu, sekurang-kurangnya saya tak rasakan rumah itu tidak mengurung jiwa saya lagi. Setiap hujung minggu mesti awak bawa saya keluar.

Saya rasa pelik kenapa awak mula baik dengan saya. Saya beranikan diri untuk bertanya pada awak tapi lidah saya kelu. Saya takut jika saya tanya, hubungan kita akan suram seperti dulu. Seingat saya, itu antara saat yang paling membahagiakan ketika bersama awak. Tapi semua itu berubah dalam satu malam. Satu malam, awak pulang ke rumah dalam keadaan marah. Awak hempaskan pintu bilik. Saya mengurut dada kerana terkejut. Saya ketuk pintu bilik awak. Awak buka pintu dan menjerit ke arah saya.

Saya terkejut. Itulah kali pertama saya lihat awak marah. Kemudian awak hempaskan pintu bilik di depan saya. Saya tak nafikan perasaan saya tercalar tapi saya bersabar. Mungkin awak ada masalah. Selesai memasak, saya buka pintu bilik awak tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Awak sedang duduk di atas katil. Awak menundukkan kepala. Saya tahu awak menangis. Saya berdiri di hadapan awak dan pegang bahu awak. Awak peluk saya. Bersaksikan ALLAH, malam tu saya serahkan diri saya yang halal untuk awak.

Pukul 3 pagi, sewaktu awak sedang tidur, saya bangun dan menunaikan solat sunat kerana saya bersyukur sekali. Niat saya ingin kembali ke bilik awak tetapi saya rasa malu sekali. Saya tidur di bilik saya walaupun hati saya meronta untuk berada di sisi awak. Saya terbangun bila pintu bilik saya diketuk kuat. Dengan rasa mengantuk, saya lihat jam menunjukkan pukul 9 pagi. Saya beristighfar dan segera membuka pintu. Bila saya buka pintu, awak tolak saya sampai saya terjatuh. Saya terpana. Saya ingatkan awak akan berhenti tapi awak tarik rambut saya dan tampar pipi saya berulang kali.

"Kau sengaja goda aku malam tadi! Kau sengaja buat macam tu! Kau nak ikat aku, kan? Sama macam mana kau ikat nenek aku supaya aku berkahwin dengan kau!" Demi ALLAH, saat tu saya rasakan saya kehilangan perasaan saya. "Kau ingat aku nak kahwin dengan kau? Kalau bukan sebab wasiat nenek aku, aku tak akan kahwin dengan kau!" Awak tendang tubuh saya. Air mata saya mengalir laju. Saya tak tau macam mana nak pertahankan diri saya. Saya rasa lemah sangat, awak . Barulah saya tau kenapa awak berkahwin dengan saya tapi. Tapi kenapa awak kejam sangat dengan saya? Awak kata saya goda awak? Saya cuma serahkan sesuatu yang halal untuk awak! "Bodoh! Bodoh!" Awak terus pukul tubuh saya. Sakit sangat, awak!

Tapi hati saya lagi sakit. Dalam keadaan marah, awak keluar dari rumah. Saya duduk menangis di birai katil sehingga saya tertidur. Bila saya bangun, awak masih belum pulang. Awak tak pulang malam tu. Tak … sejak hari tu awak tak pernah pulang. Bukan sekali dua saya cari awak. Saya telefon handphone awak tapi awak off. Kalau awak tak off pun, awak tak angkat phone call dari saya. Saya hantar berpuluh-puluh mesej pada awak tapi satu pun tak berbalas. Saya tetap menunggu awak tapi tak pernah sekali pun awak pulang. Saya rayu awak pulang setiap hari tapi hampa.

Awak terus hilang. Saya pernah pergi ke rumah awak tapi Ibu awak tanya kenapa dah lama tak datang. Maksudnya awak tak pernah datang ke rumah Ibu. Bila saya telefon office awak, semua orang cakap yang awak dah lama tak datang bekerja. Mana awak pergi? Tiga bulan awak menghilang entah ke mana. Mahu tak mahu saya terpaksa menebalkan muka memberitahu Ibu. Tapi saya tak beritahu sebab awak tinggalkan rumah. Saya terpaksa menipu mengatakan yang saya bersalah. Betul ke saya yang salah, awak? Menyerahkan sesuatu yang halal untuk awak salah ke? Berdosa ke saya?

Tiap malam saya berdoa agar awak kembali tapi ALLAH tak makbulkan doa saya. Mungkin benar saya berdoa sebab buat awak marah. Saya tetap setia menunggu kepulangan awak. Hampir empat bulan digantung tak bertali, kesabaran saya mula hilang. Saya tak sanggup menunggu lagi. Yang paling saya sedih, saat tu saya dapat rasakan kewujudan satu nyawa lain dalam tubuh saya. Saya menangis teresak-esak bila disahkan berbadan dua. Saya tau awak mesti bencikan saya. Saya berfikir panjang. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk pergi jauh.

Saya hantar mesej pada awak. Saya tak tau awak baca mesej itu atau tak. Dalam mesej tu, saya beritahu awak yang saya akan pergi jauh. Ikatan perkahwinan ini terpulang pada awak untuk tentukan. Jika awak sudah tak sanggup menerima diri saya, saya rela dilepaskan. Saya berjanji pada awak yang saya akan sentiasa menjaga diri saya dengan baik. Saya juga mohon maaf sebab buatkan hidup awak merana selama ni. Tapi saya tak perna tahu apa-apa tentang wasiat nenek awak. Saya tak tau macam mana nenek awak kenal saya.

Saya tak tau apa-apa! Saya tak sebutkan tentang anak kita langsung. Saya tak mahu awak membenci anak kita. Jika awak tak mahu menerima dia, biarlah! Saya sendiri akan menjaganya. Dan dia akan tetap tahu bahawa awaklah ayahnya. Dengan air mata yang tak berhenti mengalir, saya berpindah ke Pulau Pinang. Membina hidup baru bukanlah mudah. Dengan wang yang saya simpan sebelum berkahwin dengan awak, saya tanggung hidup saya sendiri. Saya cuba sedaya upaya untuk melupakan awak. Setiap hari bila kandungan saya semakin membesar, saya akan menangis.

Bukan kerana saya tak gembira. Bayi ini satu-satunya cahaya cinta saya. Saya menangis sebab saya rindukan awak. Cukup 9 bulan, saya lahirkan anak kita. Awak percaya tak yang saya lahirkan dia sendirian? Tak ada doctor atau jururawat yang menemani saya. Saya bertarung nyawa sendirian semata-mata untuk melahirkan anak kita. Seksa sangat waktu tu. Saya seakan ternampak semua dosa saya selama ni. Lima bulan selepas saya melahirkan anak kita, awak datang. Luruh jantung saya ketika berhadapan dengan awak.

Mata awak berair bila berjumpa dengan saya. Awak terus peluk tubuh saya. Saya membiarkan. Air mata saya mengalir. Awak mohon maaf pada saya. Awak bersungguh-sungguh mohon kemaafan pada saya tapi saya membatukan diri. Badan saya tak dapat bergerak, awak! Saya seakan tak ada kawalan terhadap badan saya sendiri. Saya biarkan awak menangis di hadapan saya. Saya menangis tapi lidah saya kelu. Saya tak dapat nak berbicara dengan awak. Hanya ALLAH yang tahu betapa saya rindu untuk melihat wajah awak.

"Maafkan saya. Saya tahu saya salah. Saya mohon ampun dari Ariana! Maafkan saya! Saya mohon ampun! Maafkan saya, Ariana!" Saya tak tau, awak … Saya tak tau sama ada saya boleh maafkan awak setelah apa yang awak buat pada saya … Saya tau awak tau yang saya Rie … Mama pernah datang beritahu yang awak datang ke rumah dan ternampak tudung putih pemberian awak dulu. Bukan itu saja. Semua gambar awak yang saya simpan selama ini juga dia tahu. Saya tak tau sama ada saya harus bersyukur atau tidak. Hati saya dah mati .

Awak menangis di hadapan saya tanpa henti. Berkali-kali awak panggil nama saya tapi saya tetap diamkan diri. Air mata saya menitis tapi saya tak dapat nak kesat air mata tu! Saya rasa saya dah mati, awak! Saya gagahkan diri untuk bangun dan dengan segala kekuatan, saya cium tangan awak, saya minta ampun atas semua dosa saya dan saya minta awak lepaskan saya. Kemudian saya tolak awak keluar dari bilik saya. Saya kunci pintu bilik walaupun awak ketuk pintu bilik saya dengan kuat. Meskipun awak menjeritkan nama saya.

Tapi sudahlah, hati saya dah mati untuk awak. Entahlah, Susah untuk saya maafkan awak walaupun saya tau bukan salah awak anak kita tak sempat membuka mata untuk melihat dunia ini … Biarlah semuanya berlalu. Saya hanya mahu abdikan diri saya sepenuhnya pada ALLAH untuk memohon keampunanNya.


Sumber dari: http://penulisan2u.blogspot.com/2008/06/novel-saya-sayang-awak-2.htm
________________________________________

Usrah, Meeting, Program dan...?

Tariq melabuhkan badannya ke tilam murah di rumah sewa setelah penat membawa usrah sebentar tadi. Dia menyiapkan beberapa tugasan untuk dihantar pada pensyarah pagi esok. Selesai saja tugasan, Tariq terpaku seketika dek terkenangkan ahli-ahli usrah yang dibawanya... Adakala rasa seronok berkongsi pandangan dengan mereka. Tapi... "Ahh... Malas la nak fikir, tidur lagi bagus", detik hatinya. Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi.

Sebelum Subuh lagi Tariq bangun untuk bersiap-siap ke surau. Dengan mata yang bengkak kerana tak cukup tidur, dia jalan terhuyung-hayang menuju ke surau berdekatan setelah mengambil wudhuk di rumah. Selesai solat berjamaah, ia berzikir sambil 'menunduk-nudukkan kepala' tanda sangat 'khusyuk' dalam zikirnya. "Alahai.. mengantuknya. Balik rumah je la. Boleh landing kejap sebelum ke kuliah.."


"Tariq...! Awak mengantuk lagi, pergi basuh muka", tegur pensyarahnya, Dr. Syarah. Mata Tariq cerah semula. Ramai pelajar tersenyum sinis memandangnya. "Alamak... kantoi lagi aku dengan Dr. Syarah", getus hatinya. Tariq membuat muka selamba seolah tiada apa-apa yang berlaku. Pensyarah itu meneruskan syarahnya walaupun mata Tariq masih lagi 'bergelombang' sayup-sayup layu mata memandang.

Sedang mendengar kuliah dengan mata kemerah-merahan, handphone Tariq vibrate menandakan ada call atau sms dari seseorang. "Salam. Jangan lupa 8.15 malam ni diadakan meeting di aras jamaah, fakulti program." Begitulah pesanan sms yang tertulis dari kawan seusrahnya, Mutarriq. "Meeting lagi", keluh hatinya. "Malam tadi dah usrah, malam ni meeting pulak", tambah hatinya. Selesai hantar tugasan dan kuliah 'tidur' jam 10.30 pagi, Tariq meluru ke motornya sambil membelek buku kecilnya jika ada perkara-perkara yang perlu dilakukan.

"Ishh... Yang ni tak buat lagi, yang ni pun tak buat lagi. Hari ni dah Khamis, program hari Sabtu. Apa aku nak jawab dengan Mutarriq malam nanti?" tanya hatinya. Mahu tak mahu Tariq pulang ke rumahnya. Ia membuka komputer sambil menaip-naip sesuatu sambil memicit kepalanya. "Ok. Kuliah lambat lagi. Pukul 2.00 petang. Boleh aku siapkan kerja aku ni", cetus hatinya sambil melihat jam tangannya yang menunjukkan pukul 11.00 pagi.

Setelah dua jam berhempas pulas, akhirnya kerja yang berkaitan dengan program Sabtu terdekat selesai. "Alhamdulillah..." syukur Tariq padaNya kerana memudahkan urusannya. Tariq cukup yakin akan pertolongan Allah bagi orang yang menolong agamaNya. Selesai solat Zohor, Tariq bergegas ke fakulti untuk kuliah. Dengan macho ia masuk ke kelas. Belum sempat Tariq duduk dan bertegur sapa dengan kawannya, pensyarah berkata, "Ok kelas, kita ada kuiz sekarang. Sila tutup buku dan nota". Hilanglah macho Tariq apabila mendengar perkataan keramat itu. Mulutnya ternganga kelu tanpa kata. "Habis la aku kali ni... Satu apa pun aku tak baca", kata hatinya.

Timbullah suara-suara jahat Azazil: "Itulah kau. Sibuk usrah, meeting, program memanjang sampai belajar entah ke mana. Kalau kau belajar saja kan bagus. Mesti kau boleh score punya. Usrah, meeting, program ni lepas belajar pun boleh buat. Malam esok kamu pulak ada usrah di rumah Pak Cik Murabbi. Bila pulak kamu nak study? Haa.. Jawab, jawab...!". Tariq tak jawab apa-apa oleh kerana kagetnya sambil mulut ternganga. Lebih jahat lagi Azazil menghasut: "Kamu nak mintak tolong siapa sekarang. Pak Cik Murabbi tak dapat tolong kamu. Jamaah pun tak dapat tolong kamu. Allah tak tolong kamu. Fail nanti kamu jugak yang susah." Walaupun sedang dilema, Tariq meneruskan kuiznya sekadar yang termampu.

"Tariq mesti istiqamah dalam perjuangan...", kata Pak cik Murabbi setelah Tariq mengadu masalahnya. "Belajar tu wajib. Kamu mesti bersedia sepanjang masa", tambahnya lagi. "Tapi Pak Cik, macam mana? Setiap hari ada saja kerja yang perlu dibuat sampai tak sempat nak study", kata Tariq. "Masing-masing diberikan masa secukupnya, cuma kita yang tak pandai menggunakannya", jawab Pak Cik Murabbi. "Banyak lagi masa yang kita ada. Cuba kamu kira, berapa lama berbual-bual dengan kawan? Berapa lama melayari internet? Berapa lama menonton televisyen? Berapa lama bermain games? Berapa lama makan di gerai?" tambahnya.

"Semua itu pencuri masa kita. Kurangkan masa-masa tersebut dan Tariq pasti ada masa untuk study", tegasnya. Lantas Pak Cik berpesan kepada Tariq sebelum pulang dari usrah: "Jangan salahkan perkara atau orang lain jika salah itu datang daripada diri kita sendiri. Salah kita kerana tidak pandai menguruskan masa. Orang lain pun lebih sibuk daripada awak dan ia juga berjaya dalam pelajarannya. Ia juga diberi 24 jam sehari seperti awak." Amat tepat sekali jawapan Pak Cik Murabbi kepada Tariq dan menimbulkan kembali semangat juangnya untuk Islam dan tidak melupakan masa untuk belajar.

Namun, Tariq bertanya: "Siapa orang lain yang berjaya tu Pak Cik?". Dengan selamba Pak Cik Murabbi menjawab: "Pak Cik la orang lain tu. Nak bagitau nama orang lain Pak Cik tak tau...", sambil senyum meleret pada Tariq sambil ternampak gigi. "Terima kasih atas nasihat Pak Cik", kata Tariq sambil tersenyum. Tariq pulang bersama mutiara berharga dari Pak Cik Murabbi yang juga cemerlang dalam usrah, meeting, program dan... AKADEMIK semasa belajar dahulu.

"Masa itu ibarat pedang. Jika kita tidak memotongnya, ia akan memotong kita."
(Pepatah Arab)

~Sedingin Cinta Ibrahim~

Cinta seperti hujan yang berkunjung renyai-renyai dalam kebun hidupnya. Sungguh wajah Ibrahim seperti awan rendah yang meneduhkan. Dia suka memandang wajah itu, setiap hari dan saban malam. Tak pernah jemu, kerana wajah itulah yang tak putus-putus menghantar kedinginan dan keredupan, hujan cinta yang renyai-renyai. Wajah itu adalah cinta tak berbelah bahaginya.
Dia tidak punya harta yang banyak, juga pendidikannya hanya cukup sekadar membolehkan dia membaca dan mengaji dengan fasih. Dia lahir tidak sempat mengingat wajah abah dan umi. Bahkan dia tidak mengenali mereka, hanya beberapa orang penjaga dan teman-teman segelanggang di rumah kebajikan anak-anak yatim. Harta yang dia ada, cumalah cinta yang menyala-nyala itu. Cinta kepada Tuhan yang Maha Pengasih, cinta kepada rasul yang mengasihi, juga cinta kepada kekasihnya, Ibrahim. Suami yang tercinta, yang mengajar dia mengenal makna cinta itu, berlapis-lapis, dan dalam sekali.
“Keimanan itu bukan sekadar ikrar dengan lisan dan bukti melalui perbuatan, tetapi juga hati yang yakin dan mencintai,” pesan Ibrahim.
Dia cintakan suara itu. Tiap malam sesudah Maghrib Ibrahim bersila di hadapannya. Sederhana, berbaju melayu dan berkopiah putih. Bauan harum yang dipakai suaminya semerbak sekali membuatkan dia jadi tenteram dan bahagia. Lalu mereka sama-sama menekuni kitab Allah dengan khusyuk dan kerendahan. Helaian demi helaian. Ibrahim mengajarnya pelbagai perkara, tentang langit dan bumi, tentang kelahiran dan kematian, tentang manusia dan hati. Juga tentang kisah para nabi dan rasul yang sangat gemar didengarinya. Dia ralit mendengar kisah Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah berkali-kali, berulang-ulang. Seperti seorang kanak-kanak, dia akan duduk diam di hadapan Ibrahim dengan senyuman manja sambil mendengar setiap satu kata yang diucapkan Ibrahim. Kadang-kala diulangnya suara Ibrahim, sehingga suaminya turut tersenyum. Alangkah, cintanya menyala-nyala; tidak membakar tetapi mendinginkan.
“Sekarang baru kau tahu, Ibrahim. Bersungguh-sungguh sangat hendakkan dia. Sekarang lihatlah, kau sudah tidak ada generasi untuk menyambung keturunan kau. Ini semua salah anak yatim tu.”
“Ya Allah. Jangan cakap begitu Kak Senah. Siapa sangka, mungkin saya sendiri yang kurang upaya. Rezeki itu di tangan tuhan. Diberi dan diambil atas iradat-Nya.”
Ibrahim mengajarnya tentang keyakinan itu. Penyerahan dan kesabaran itu adalah kecintaan yang gagah, yang tulus buat Tuhan.
Dia cintakan Ibrahim, juga Ibrahim sangat mencintai. Itu yang dibisikkan Ibrahim tiap-tiap pagi ketika dahinya dikucup sebelum Ibrahim berangkat ke tempat kerjanya. Seperti dituangkan air yang dingin, dia merasai kasih sayang Ibrahim mengalir ke seluruh tubuhnya, seluruh hati dan jiwa raganya. Lalu tumbuh sepohon yang rendang, di situlah dia tumpang bernaung dari kepanasan dunia yang semakin melemaskan. Alangkah tulusnya.
Ibrahimlah yang membawa dia ke dunia yang serba cukup ini. Dia tidak mahu rumah mewah, atau kereta besar, atau barangan kemas yang membukit kerana dia sedar itu semua bukanlah rezeki selayak untuknya. Dia hanya mahu merasai nikmat kasih sayang, memiliki keluarga dan insan untuk dicurahkan isi jiwa wanitanya. Terlalu lama dia kekontangan itu semua, ibu bapanya meninggal sejak dia kecil lagi. Rumahnya hangus dalam kebakaran besar-besaran di kampung, menelan seluruh cinta yang ada. Kakak sulungnya turut terkorban. Tinggal dia sendirian yang tuhan panjangkan nyawa. “Bersyukurlah kepada-Nya atas nikmat usia ini. Ajal dan maut ditentukan sejak azali lagi. Begitu jugalah kita dijodohkan hari ini, atas kasih Tuhan,” pesan Ibrahim dengan penuh cinta.
Rindunya hanya kepada suaminya, tumpah melimpah-limpah. Itulah amanah yang ditetapkan oleh Tuhan buatnya.
“Tak mungkin salah kau pula, kau tu lelaki Ibrahim. Kau perasan tak, sejak dia masuk ‘operate’ dulu, kau dengan dia dah tidak menjadi? Mesti ada masalah dengan dia. Dia sudah tidak subur lagi tu.”
“Itulah silapnya Kak Senah, orang Melayu ni. Asalkan tak ada rezeki saja, disalahkan orang perempuan. Apa-apapun dituduhnya orang perempuan. Kak Senah tahu, dari kajian perubatan, masalah ini 40 peratus berpunca dari pihak lelaki, 40 peratus dari yang perempuan. Selebihnya, berpunca dari kedua-dua pihak. Paling utama, itu semuakan aturan tuhan?” Ibrahim hanya tersenyum melayan kerenah kakak tunggalnya itu.
“Lagipun Kak Senah, operation yang dijalani isteri saya tu, tak sepatutnya menjejaskan kesuburannya itu. Dia masih berupaya melahirkan seperti seperti sebelumnya.” Kak Senah hanya mencebik masam.
Kadang-kala dia juga mengenang sendirian, layakkah dia untuk menelan segenap cinta yang Ibrahim curahkan itu. Dia bukanlah jodoh yang terbaik buat Ibrahim. Ibrahim seorang pakar perubatan kanak-kanak, paediatrician, juga lepasan luar negara. Berpendidikan tinggi, berkelulusan tinggi, juga punya maruah dan martabat yang tinggi.
Dia bukanlah segagah Sarah, wanita yang terbaik buat menggalas cinta Ibrahim.
Malam itu perjalanan takdirnya telah dibuka oleh tuhan seluas-luasnya. “Ini ujian tuhan buat kita yang lemah,” pesan Ibrahim sentiasa.
“Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki, Dia memberikan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis laki-laki dan perempuan (kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang dia kehendaki. Sesungguhnya dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa (Asy Syuura: 49-50)”
“Ibrahim, isteri kau mengalami ectopic pregnancy di tiub Fallopio kanannya. Dia sudah mengalami rupture dan pendarahan serius selama beberapa jam yang lepas, salpingectomy harus disegerakan!”


Ibrahim hanya akur. Dia sebagai salah seorang pakar perubatan yang penuh pengalaman sangat mengerti akan situasi yang dihadapkan padanya detik itu. Pendarahan akibat ectopic pregnancy terlalu besar kemungkinan untuk meragut nyawa isterinya. Bila-bila masa sahaja! Wajah isterinya yang pucat ditenung dengan senyuman yang kelat. Sebelum disorong ke bilik bedah, Ibrahim sempat mengucup dahi isterinya- ada doa di dalamnya dingin meresap jauh ke nubari isterinya.
Mujur saja sebenarnya Ibrahim seorang doktor yang cekap. Beberapa jam sebelum itu, isterinya telah disyaki menghidap appendicytis setelah mengadu sakit-sakit di kanan perutnya, bahkan hampir saja dihantar ke Operation Theatre untuk dijalankan appendectomy. Tetapi Ibrahim mencegah, aduan isterinya beberapa hari lalu tentang kitar haid yang sudah terganggu selama 6 minggu menyebabkan dia menangguhkan pembuangan appendix isterinya. Alangkah, tindakan Ibrahim itu sungguh berbaloi.
“Saya mahu dia diperiksa sekali lagi, dengan transvagial Ultrasound Scan! Saya rasa ini bukan appendycitis,” arah Ibrahim kepada doktor yang bertugas malam itu.
Ibrahim menanti, hatinya tawakal bahawa Tuhanlah pemilik segala cinta.

“(tetapi mereka tidak mahu makan), kerana itu Ibrahim merasa takut terhadap mereka. Mereka berkata: ‘Janganlah kamu takut’. Dan mereka memberi khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang alim (Ishak). Kemudian isterinya datang memekik (tercengang) lalu menepuk mukanya sendiri seraya berkata: ‘Aku adalah seorang perempuan tua yang mandul’. Mereka berkaa: ‘Demikianlah Tuhanmu menfirmankan’ sesungguhnya Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. (Adz-Dzaariyat: 28-30)”

Terlalu lama mereka bersama dan dia sungguh-sungguh dapat membaca keresahan hati suaminya. Dialah yang mengubat sepi Ibrahim selama ini. Dan dia juga tahu, Ibrahim terlalu merindukan zuriat untuk menyambung legasi dan keturunannya. Ibrahim amat menghasratkan suara kanak-kanak dapat memeriahkan rumah mereka yang sederhana itu. Cahaya mata yang menjadi tanda dan anugerah buat cinta yang menyatukan mereka. Cinta yang menyala-nyala. Kerana naluri cintanya kepada kanak-kanak itu jugalah Ibrahim menjadi paeditrician.

Lalu dia sering menyalahkan dirinya. Kata-kata Kak Senah kadang-kadang menghantukkan jiwa wanitanya. Alangkah dia mahu jadi setabah Sarah, tidak pernah putus mendedikasikan ketaatan dan kekuatan buat Ibrahim terus berdiri. Saban malam dia memanjatkan seribu doa buat tuhan agar dipinjamkan sedikit jiwa wanita terpuji itu- agar dia menjadi seorang Sarah buat Ibrahim.
Dia mahu cintanya adalah cinta seorang Sarah buat Ibrahim.
“Cuba kita renungkan betapa kekuasaan tuhan yang menciptakan Adam. Juga kelahiran Isa yang tidak berbapa dari seorang wanita solehah bernama Maryam,” kata Ibrahim sambil bersila di hadapannya sesudah maghrib. Sederhana, berbaju melayu dan berkopiah putih.

“Jadi tidak mustahil juga Allah yang Maha Penyayang menganugerahkan zuriat kepada nabi Ibrahim dan isterinya Sarah, serta kepada nabi Zakaria dan isterinya, Ishba, walaupun mereka dalam usia yang sudah lanjut. Merekalah insan-insan yang diceritakan dalam Al Quran, yang telah tuhan uji dengan tanpa mendapat zuriat.”
“Tentu lama mereka terpaksa menanti sebelum kelahiran zuriat pertama itu, kan Abang?”

“Kesabaran dan keyakinanlah yang menggagahkan mereka. Kecintaan mereka kepada tuhan tidak akan pernah dilupakan oleh Pencipta Seluruh Alam, lantas kerana kekuatan mereka itu, Tuhan bukan sahaja menganugerahkan anak, tetapi zuriat yang bakal menjadi keturunan yang soleh dan mulia, termasuklah para rasul dan nabi. Moga-moga tuhan juga mengizinkan zuriat yang baik dan soleh buat kita,” ujar Ibrahim lagi sambil tersenyum. Senyuman itulah yang dia simpan saban hari, setiap malam untuk mengubat luka dan kecewanya.

Pernah juga suatu hari rakannya, yang juga rakan sekerja Ibrahim mencadangkan kaedah reproduktif alternatif kepada mereka. Dia sendiri sudah jenuh memujuk Ibrahim agar menerima kaedah persenyawaan in vitro (IVF) dan artificial insemination (AI). Kata rakannya, kaedah itu halal selagi menggunakan benih dari kedua-dua suami dan isteri dalam tempoh perkahwinan yang sah. Tetapi Ibrahim terlalu tegas menolak.
Ibrahim tidak mahu mendapat zuriat dengan kaedah tersebut. Masih belum tiba masanya, kata suaminya.

Dia terlalu cintakan Ibrahim, namun hati wanitanya kadang kala bergetar juga. Dia bukannya Sarah, juga bukanlah Ishba yang gagah. Kekurangan dirinya itu selalu menakutkan tatkala dia melayan perasaannya yang sering resah. Dia bimbang jika cintanya yang satu ini dibawa pergi oleh Ibrahim, meninggalkan dia kembali seperti mana dia suatu ketika dahulu. Dia takut api cintanya yang menyala itu terpadam. Lalu dia beristikharah pada tuhan, memohon petunjuk dan kegagahan. Dengan seribu upaya, dan sejuta air mata dia membulatkan cintanya! Pengorbanan harus dibuat.
“Tidak! Janganlah cakap begitu lagi. Bersabar dan yakinlah, seperti yakinnya Sarah dan Ibrahim,“ suara suaminya mula keras.
“Tapi abang, Sarah juga merelakan suaminya mengahwini Hajar lantas berkat perkahwinan itu mereka dikurniakan Ismail oleh tuhan. Izinkan saya menjadi Sarah buat abang. Saya tak sanggup lagi melihat hasrat yang telah lama abang simpan itu jadi angan-angan kerana kekurangan saya ini.”
“Rezeki dan jodoh kita telah ditentukan. Ketika tuhan menyelamatkan kamu sewaktu mengalami pendarahan di dalam rahim kerana ectopic pregnancy dulu merupakan rezeki yang tak terhingga untuk abang. Sehingga kini abang tak terbalas cinta Tuhan kepada kita. Itu sudah memadai.” Sungguh-sungguh senyuman Ibrahim itu selalu saja membuatkan dia kelu. Dia tewas.

Namun dia tidak pernah putus asa. Kadang kala dia meminta pertolongan Kak Senah untuk meyakinkan Ibrahim yang tegas itu. Tiada masalah bagi Kak Senah. Kak Senah cukup suka jika Ibrahim berkahwin seorang lagi. Sebelum Ibrahim melamarnya, keluarga Ibrahim pernah menjodohkannya dengan anak gadis ketua kampungnya. Semestinya tindakan Ibrahim mengahwini dirinya, seorang gadis yatim yang sekadar berkerja sebagai pembantu di rumah kebajikan bukanlah sesuatu yang diharapkan oleh keluarga Ibrahim yang besar itu.

Usaha Kak Senah juga tidak mendapat hasil yang memuaskan, bahkan Ibrahim dengan tenang dan tersenyum memberikan pelbagai alasan. Tentang kerjayanya yang semakin sibuk, tentang gajinya yang tak seberapa, dan bermacam lagi. Masakan Ibrahim mampu untuk melayan dua orang isteri. Namun dalam hati dia tahu Ibrahim cuma berdalih, tidak disangka begitu kejap setia Ibrahim, sehinggakan dia acapkali menangis terharu. Begitu besar kasih yang dicurahkan Ibrahim demi membahagiakannya, namun dia tidak dapat memberikan Ibrahim sebarang zuriat meskipun sudah hampir 8 tahun mereka bersama. Alangkah hati wanitanya pecah.

“Bersyukurlah dengan rezeki yang tuhan perkenankan untuk kita. Anak-anak itu rezeki, tetapi usia juga rezeki, bahkan iman dan Islam yang tertanam di dada ini adalah rezeki tak terhingga buat kita.”
Lalu Ibrahim menceritakan pula kisah Nabi Ayub yang mulia, tentang tuhan yang menguji baginda dengan penyakit. Segala nikmat harta, ladang-ladang dan anak-anak ditarik tuhan lalu baginda bersabar tanpa kesal dan kesah.

“dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Tuhannya: ‘(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.’ Maka Kamipun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipatgandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah. (Al Anbiyaa: 83-84)”
Cintanya masih menyala-nyala; tidak membakar tetapi mendinginkan. Seperti Sarah dan Ibrahim, di antara mereka adalah keyakinan dan kesabaran. Ibrahim bukan sahaja suami, tetapi adalah guru dan cintanya.

Cinta tuhan, adalah cinta yang tak terjangkau. Dia sujud dengan sejuta penyerahan.
“Ibrahim! Isteri kau pitam tadi! Kami baru balik dari klinik.”
“Ha?! Kenapa Kak Senah? Apa dah jadi?” gagang telefon dipegang erat. Cemas tiba-tiba berleluasa.

“Tahniah Ibrahim!”

“Kenapa Kak Senah? Isteri saya macam mana?”
“Dia sihat. Ibrahim, mulai dari hari ni kau jangan biarkan dia buat kerja rumah berat-berat lagi! Dia kena banyakkan rehat. Alhamdulillah, rezeki kamu berdua telah diperkenankan tuhan setelah lama menanti, sudah 7 minggu dia mengandung,” Kak Senah mengusik sambil ketawa kecil.

Ibrahim terdiam, dalam senyum itu ada syukur yang tumbuh berkuntum-kuntum. Di dalam rahim isterinya kini semakin sejuk sesudah sekian lama, diisi dengan kasih sedingin cintanya Ibrahim.

“Dan Kami telah memberikan kepadanya (Ibrahim) Ishak dan Yaakub, sebagai suatu anugerah (daripada Kami). Dan masing-masing Kami jadikan orang-orang yang soleh. (Al-Anbiyaa’ : 72)
Alangkah, Dia yang maha Menganugerah, pemilik segala Cinta, pemilik segala Rahsia.

Selasa, 3 Mac 2009

KURMA, KISMIS & MADU

KHASIAT & KEBAIKANNYA


Sabda Rasulullah s.a.w
"Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya."


Kebaikan Kurma Ketika Mengandung dan Bersalin Adalah amat baik sekali jika puan mengamalkan memakan buah kurma semasa mengandung kerana ini akan memudahkan bersalin nanti. Semasa bayi dilahirkan, buah kurma juga dicalitkan sedikit di lelangit bayi. Ingat tak kisah dimana Maryam hanya memakan buah kurma semasa melahirkan nabi Isa a.s.

Buah kurma tidak mengandungi gula yang merbahayakan malah ia merupakan makanan Rasullullah s.a.w. Buah kurma tidak merbahayakan kesihatan kerana ianya mengandungi banyak khasiat.

1) KURMA

Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Rumah yang tidak ada kurma di dalamnya, akan menyebabkan penghuninya kurang sehat".

Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Berilah makanan kurma pada wanita yang hamil sebelum dia melahirkan, sebab yang demikian itu akan menyebabkan anaknya menjadi seorang yang tabah dan bertakwa (bersih hatinya)".

Abu Abdillah a.s. bersabda:
"Buah kurma adalah salah satu buah yang berasal dari syurga dan dapat mensirnakan pengaruh sihir".



Abu Abdillah a.s. bersabda:
"Orang yang memakan 7 buah kurma yang baik sebelum sarapan, maka pada hari itu dia tidak akan tertimpa racun, sihir dan tidak diganggu setan".

Imam Ja'far Ash-Shadiq a.s. bersabda:
"Barangsiapa memakan 7 buah kurma yang baik, maka cacing-cacing yang ada di perutnya akan mati"

2) KISMIS


Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Barangsiapa memakan kismis merah sebanyak 21 biji setiap hari sebelum sarapan pagi, maka dia tidak akan tertimpa penyakit kecuali kematian".

Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Biasakanlah memakan kismis karena kismis dapat menghilangkan kepahitan (empedu/cairan kuning), menghilangkan lendir, menyehatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih".

Imam Ali a.s. bersabda:
"Barangsiapa memakan 21 biji kismis merah, maka dia tidak akan melihat pada jasadnya suatu yang tidak disenangi".

Imam Ali a.s. bersabda:
"Kismis dapat menguatkan jantung, menghilangkan penyakit, menghilangkan panas dan memulihkan kesehatan jiwa".

Pada riwayat lain dari Abi Ja'far At-thusi disebutkan bahwa kismis dapat menghilangkan lendir dan menyehatkan jiwa.

3) MADU

Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Barangsiapa minum madu setiap bulan dengan niat melakukan nasehat Al-Qur'an, maka Allah SWT akan menyembuhkannya dari 77 penyakit".

Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Barangsiapa ingin memiliki hafalan yang kuat hendaklah dia meminum madu".

Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Sebaik-baik minuman ialah madu karena dia dapat mengkonsentrasikan hati dan menghilangkan dingin yang ada di dalam dada".

Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Allah SWt telah meletakan berkah di dalam madu dan menjadikannya sebagai obat dari rasa nyeri, dan madu telah didoakan oleh 70 Nabi".

Dari Imam Ali a.s. beliau bersabda:
"Madu adalah obat dari segala penyakit,tiada penyakit di dalamnya, ia dapat menghilangkan lendir dan membersihkan hati".

Dari Imam Ja'far Ash-Shadiq a.s., beliau bersabda:
"Rasul saw sangat menyenangi madu".

Dari Imam Ja'far Ash-Shadiq a.s., beliau bersabda:
"Biasakanlah dirimu memperoleh dua obat yaitu meminum madu dan membaca Al-Quran".
Dalam melahirkan generasi perjuangan yang mencintai Allah, bukan semudah melafazkan akad nikah tatkala diijabkabul oleh tok kadi. Arwah Tok aku pernah berpesan. Dalam melahirkan zuriat perjuangan, ianya bermula dari sebelum si ayah dan si ibu diijabkabulkan.

Antara kaedah yang dilakukan oleh orang dizaman salafussoleh dalam melahirkan zuriat perjuangan yang bakal menyambung lidah Rasulullah SAW adalah seperti berikut :

1. Menjaga keturunan.

Firman Allah SWT :

"Jikalau ada penduduk kampung yang beriman dan bertaqwa, maka akan dibukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi" ( Al A'araf : 96 )

Anak keturunan zina amat payah dididik untuk menerajui sesuatu perjuangan. Sebab itu anak keturunan zina tidak ada yang menjadi Rasul, Nabi atau pun waliyullah. Malah anak zina juga tidak berhak diwalikan oleh lelaki yang menjadi benih kepada kelahirannya dan tidak berhak menerima harta pesaka lelaki tersebut. Bukanlah bermakna kita ingin menanamkan kebencian kepada keturunan zina. Tetapi begitulah hukum yang termaktub dalam Islam.

Ini juga tidak bermakna orang yang berketurunan mujahid atau ulamak mampu meneraju sesuatu perjuangan. Ini disebabkan iman itu bukan sesuatu yang boleh di warisi dan dipesakai. Sejarah membuktikan, Sultan Muhammad Al Fateh yang menjadi wira empayar Osmaniah dihina oleh keturunannya sendiri yang juga berdarah Osmaniah. Sewaktu Italy menjajah Libya, keturunan Turki Osmaniah melarikan diri dari medan jihad dan berlindung dan hidup mewah dibawah panji Wahabi di Saudi meninggalkan Gerakan Sanussi pimpinan Omar Mokhtar bersendirian menghadapi tentangan tentera kafir musyrik Italy. Mereka melarikan diri ke tempat yang mampu menjamin kehidupan dan kemewahan peribadi mereka. Ada juga keturunan yang berhati dayus ini melarikan diri ke bumi Malaya.

Sejauhmana kelayakan sesuatu keturunan untuk meneraju perjuangan ialah sejauh mana berkesan dan sistematiknya proses ta'alim dan tarbiyah yang dilakukan ke atasnya oleh penjaga atau murabbinya. Sejarah juga membuktikan bahawa keturunan yang baik andainya dididik dengan ta'alim dan tarbiyah oleh para murabbi dengan betul mampu melahirkan manusia yang hidup untuk syahid sebagaimana lahirnya Sultan Muhammad Al Fateh dari benih Sultan Murad. Sebagaimana lahirnya Syeikh Abdul Kadir Jailani dari percantuman benih Abu Saleh Janghidost dan Fatimah binti Abdullah Saumi.

Terjadinya anak zina bukan sahaja disebabkan bersekedudukan tanpa nikah, tetapi juga terjadi disebabkan pernikahan yang rosak dan cacat. Nikah menjadi rosak apabila wali nikah dan saksi terdiri dari orang yang fasiq dan perjalanan majlis walimah dipenuhi dengan kemungkaran.
Maka dalam membentuk generasi perjuangan, maka pernikahan hendaklah dilakukan dengan mematuhi syariat.

2. Memilih Pasangan

Percantuman antara satu benih pokok yang baik dengan satu lagi benih pokok yang baik akan menghasilkan pokok cantuman baka bermutu tinggi. Begitulah juga dalam perjuangan. Percantuman benih dari satu keturunan yang baik dengan satu lagi keturunan yang baik, akan melahirkan zuriat keturunan yang lebih baik.

Rasulullah SAW telah memberi panduan untuk mencari pasangan yang baik kepada lelaki yang baik iaitu dipilih atas dasar kecantikan, harta, keturunan dan agama. Yang diutamakan ialah agamanya.

Nabi Muhammad SAW lahir dari percantuman benih Abdullah bin Abdul Mutallib yang amat mulia akhlaknya serta berwibawa dengan benih Aminah yang mulia dan terpelihara maruahnya. Nabi Ismail AS terhasil dari benih Nabi Ibrahim AS dengan Siti Hajar seorang wanita soleha yang mentaati suaminya dan sanggup berkorban agar ditinggalkan bersama bayinya di bumi gersang Mekah demi tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT.

Abu Salleh Janghidost yang berketurunan Imam Hassan ketika bermusafir, telah termakan sebiji buah yang ditemuinya. Atas rasa bersalah dan ingin minta dihalalkan dari pemilik buah tersebut. Abu Salleh Janghidost sanggup menjadi pekerja kepada Abdullah Saumi yang berketurunan Imam Hussin selama 12 tahun dan mengahwini anak gadis Abdullah Saumi yang buta matanya, pekak telinganya, bisu lidahnya, kudung tangan dan kakinya. Setelah diakad nikah, ternyata anak gadis bernama Fatimah Binti Abdullah Saumi hanyalah buta dari penglihatan maksiat, pekak dari pendengaran maksiat, bisu dari membicarakan maksiat dan kudung tangan dan kaki dalam melakukan maksiat. Maka lahirlah Syeikh Abdul Kadir Jailani yang menjadi Qutubul Auliya.

Omar Al Khattab sewaktu menjadi khalifah menjadikan berjalan malam untuk melihat kondisi rakyatnya. Satu malam dia terdengar dialog antara seorang ibu tua bersama anak gadisnya yang juga bernama Fatimah. Fatimah dinikahkan dengan anak Saidina Omar Al Khattab yang kerana Fatimah melarang ibunya mencampurkan air dalam susu untuk jualan adalah menjadi satu kesalahan walau pun Khalifah Omar tidak melihatnya kerana Allah masih melihat. Dari zuriat anak Saidina Omar dan Fatimah ini maka lahir Omar Bin Abd Aziz, cicit kepada Saidina Omar Al Khattab.

3. Memasang Niat


Memasang niat untuk memperolehi anak yang beriman dan bertaqwa ketika mula mendirikan rumahtangga dan disusul pada setiap kali berjimak. Lakukan hubungan suami dan isteri dalam keadaan hati yang sentiasa bertaqarrub kepada Allah SWT, bukan semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu. Jaga adab-adab berjimak terutama membaca doa jimak { Ya Allah, jauhkanlah kami dari syaitan dan hindarkanlah syaitan dalam apa yang engkau rezekikan kepada kami } agar terhindar dari campur tangan syaitan.

Niat untuk beroleh zuriat yang beriman dan bertaqwa boleh dikuatkan dengan doa dan nazar. Niat yang disusuli dengan doa dan nazar memberi pengaruh yang besar dan kuat dalam pembentukan jiwa dan roh zuriat yang bakal dilahirkan. Firman Allah SWT :

Dan orang-orang yang berkata, "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertaqwa. ( Al Furqaan : 74 )

Nabi Zakaria AS berdoa kepada Allah agar dikurniakan anak yang mampu menyambung perjuangannya. Allah nukilkan doa Nabi Zakaria AS dalam Al Quran :

Ya Tuhan ku, berilah aku di sisi ENGKAU seorang anak yang baik. Sesungguhnya ENGKAU Maha Mendengar ( Al Imran : 38 )

( Ia Berkata ) "Ya Tuhan ku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepala ku dipenuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, Ya Tuhan ku. Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap mewaliku ( orang yang menyambung perjuangan) sepeninggalanku, sedangkan isteri ku seorang yang mandul, amaka nugerahilah aku disisi Mu seorang putera, yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Yaakub dab jadikanlah ia Ya Tuhanku seorang yang diredhai. ( Maryam : 4 - 6 )

Dan bernazarlah sebagaimana isteri Imran. Nazar ialah menunaikan janji apa bila niat terkabul. Setelah nazarnya terkabul, maka isteri Imran menyerahkan anaknya Maryam untuk berkhidmat untuk semata-mata beribadah kepada Allah SWT.

Ingatlah ketika isteri Imran berkata " Ya Tuhanku sesungguhnya aku menazarkan kepada Engkau anak dalam kandunganku menjadi hamba yang soleh dan berkhidmat 9 di Baitul Maqdis), kerana itu terimalah (nazar) itu daripadaku. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. ( Ali imran : 35 )

Inilah peranan Niat, doa dan nazar dalam membentuk jiwa perjuangan zuriat yang bakal di lahirkan. Agar nantinya kelahiran zuriat itu memberi manfaat kepada sekelian alam. Sabda Rasulullah SAW :

Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia yang lain.

Niat, doa dan nazar hendaklah dikekalkan setelah kelahiran zuriat, sebagaimana berdoanya Nabi Ibrahim AS

Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata " Ya Tuhanku jadikanlah negeri ini negeri yang aman, dan jauhkanlah aku dan cucu ku daripada menyembah berhala. (Ibrahim : 35 )

Ya Tuhanku jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. ( Ibrahim : 40)

Ternyata niat sambil disusuli doa dan nazar merupakan amalan orang yang muqarrabin. Jika golongan muqarrabin pun berniat, berdoa dan bernazar dalam melahirkan zuriat yang beriman dan bertaqwa, lebih-lebih lagilah orang awam yang banyak dosa seperti kita, jika inginkan zuriat yang beriman dan bertaqwa memang sewajarnya kita melakukan niat, berdoa dan bernazar dengan sungguh-sungguh.

4. Memberi Ta'alim dan tarbiyah


Dalam menyambut kelahiran zuriat, sambil mengekalkan niat, doa dan nazar, usaha lahiriah perlu disusul.

a. Tarbiah di dalam kandungan

Pengalaman dan perasaan ibu perlu dikawal sewaktu hamil, kerana ianya memberi pengaruh yang besar terhadap pembentukan sikap, akal dan jiwa si anak. Ketenangan jiwa ibu yang sedang mengandung membantu pembentukan ketenangan jiwa pada si anak. Bagaimana ingin mendapat ketenangan ? Ialah dengan mengingati Allah SWT. Ingatilah Allah melalui zikir, pembacaan Al Quran dan ibadah-ibadah sunat yang lain.

Kepatuhan Nabi Ismail AS untuk dikorbankan oleh Nabi Ibrahim AS lahir dari ketabahan Siti Hajar yang sanggup ditinggalkan di bumi gersang Mekah kerana perintah Allah SWT.

Begitu juga halnya dengan si bapa. Aktivitinya juga mempengaruhi pembentukan jiwa anak di dalam kandungan. Watak yang ditonjolkan oleh Muhammad Al Fateh adalah disebabkan pengaruh roh jihad dan roh sufi ayahnya Sultan Murad. Maka lahirlah Sultan Muhammad Al Fateh yang sewaktu berusia 13 tahun sudah merancang untuk menumbangkan Kota Konstantinopel.

Malangnya, kini tidak ramai keturunan Turki Osmaniah yang mewarisi roh jihad dan sufi Muhammad Al Fateh. Ada yang sehingga sanggup mendayuskan diri menipu isteri tua untuk beristeri muda. Saya yakin mereka ini tidak mempunyai hubungan keturunan dengan Muhammad Al Fateh. Sebaliknya mereka ini mungkin keturunan hamba sahaya atau penjenayah di era Turki Osmaniah, maka tidak hairanlah mereka ini bersifat bacul dan dayus.

Proses tarbiah di dalam kandungan akan berterusan sehinggalah tempoh kelahiran ke dunia nyata. Susah atau senang dalam kelahiran menggambarkan peribadi yang dilahirkan. Aminah, ibunda kepada junjungan besar SAW tidak pernah merasa kepayahan sewaktu melahirkan manusia termulia ini. Begitu juga Maryam yang melahirkan Isa AS tidak merasa kesukaran dan kepayahan sewaktu melahirkan. Begitu juga Khadijah yang melahirkan fatimah Az Zahra.

b. Tarbiah di luar kandungan

Sabda Rasulullah SAW :

Awal-awal agama mengenal Allah

Tiap-tiap anak itu dilahirkan mengikut fitrah ( suci bersih ), maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi ( Bukhari dan Muslim )

Tunaikanlah hak ke atas bayi yang dilahirkan. Berikan nama yang baik. Di aqiqahkan dan dididik dengan ayat-ayat Al Quran, selawat serta zikir terutama sewaktu didodoikan. Ingatlah kata-kata bidalan bahawa tangan yang menghayun buaian itu yang bakal menggemparkan dunia. Andainya dodoian yang menjurus kepada ketaqwaan, maka anak itu nanti bakal menggemparkan dunia sebagai mujahid sejati. Andainya dodoian yang menjurus kepada kemungkaran, maka dunia akan digemparkan dengan maksiat dan fasad yang dilakukan oleh anak itu.

Kawal alam persekitaran dan rakan-rakan anak-anak untuk membentuk fizikal, akal dan jiwa anak-anak agar mencintai Allah dan Rasul melebihi segalanya. Wujudkan alam sekiling mereka dengan suasana majlis ilmu, muzakarah dan zikrullah. Susun program agar sentiasa berlangsung majlis zikir, ta'alim dan muzakarah di rumah agar fizikal, akal dan jiwa anak ini sebati dengan majlis di taman syurga. Walaupun anak-anak kurang memahami, tetapi suasana yang wujud dapat mencorak pemikiran dan jiwa anak-anak. Anak-anak yang tidak terdedah dan ditarbiyah dengan suasana majlis ilmu, apabila dewasa akan biadap dan kurang ajar sewaktu majlis ilmu berlangsung.

Hidangkan anak-anak dengan kisah-kisah orang dizaman salafussoleh. Tonjolkan Rasulullah SAW dan para sahabat sebagai wira yang sebenar dan bukannya watak-watak kartun ciptaan barat dan kuffar seperti ditayangkan di media massa. Bentuk akal dan jiwanya dengan bercerita. Kerana cerita-cerita tersebut akan meresap masuk ke dalam akal dan jiwa justeru menjadi azam dan cita-cita si anak untuk menjadi seperti tokoh dan watak utama dalam cerita tersebut.

5. Menjaga Makanan

Jagalah pemakanan anak-anak dari perkara yang haram, makruh mahupun syubahah. Makanan yang haram menjadi hijab kepada hati. Makanan yang makruh tempat kebencian Allah. Yang syubahah pula menghampiri perkara yang haram. Ketiga-tiganya menjadi penghalang bagi hati untuk bertaqarrub dan bermusyahadah kepada Allah SWT. Bila hati terhijab, tidak ada tempat untuk iman bertapak.

Ibu Imam Syafie, pernah menjolok tekak anaknya kerana meminum susu yang tidak diketahui dari mana sumbernya. Omar Al Khattab sewaktu menjadi khalifah pernah merampas buah milik Baitul Mal dari tangan anaknya yang kelaparan kerana merasakan sebagai seorang khalifah HARAM bagi dirinya dan keluarganya mengambil hak rakyat. Abu Bakar memuntahkan semula susu yang diminum kerana susu itu dibeli menggunakan wang zakat.

6. Menyerahkan Anak kepada Murabbi

Murabbi adalah guru yang mentarbiyah kehidupan duniawi dan yang paling penting mentarbiyah kehidupan ukhrawi. Guru hanya boleh memberi ilmu. Ilmu yang diberi belum tentu mampu diamalkan oleh si murid. Di sini letaknya peranan murabbi. Untuk membimbing dan mentarbiyah murid untuk beramal dengan ilmu yang diperolehi, sama ada dari guru atau pun dari murabbi itu sendiri.

Bai'ah antara murid dengan murabbi adalah langkah pertama, sebagaimana ditunjukkan oleh Jibrail dan Rasulullah SAW kepada Saidina Omar Al Khattab dan sahabat yang lain sewaktu Jibrail menyampaikan ilmu tentang Iman, Islam dan Ihsan. Dalam pembai'ahan tangan berjabat mesra, lutut bertemu lutut dan antara hati mekar rasa kasih sayang antara murid dan murabbinya. Ianya adalah suatu simbolik pautan hati antara murabbi dan muridnya, yang memeterai suatu perjanjian bahawa murabbi akan berusaha sepenuh jiwa untuk mentarbiyah muridnya dan muridnya akan sepenuh jiwa menerima ilmu dan beramal dengan murabbinya demi menegakkan hukum-hakam Allah di muka bumi. Murabbi menyalurkan ilmu dan membimbing untuk beramal dengan ikhlas. Murid menerima ilmu dan rela dibimbing dengan ikhlas. Maka terzahirlah manusia-manusia yang mengabdikan diri kepada Allah dan berlumba menjadi khalifah Allah untuk mentadbir alam ini.

Demi menjaga rantaian barokah, maka murid akan menyebut nama murabbinya sewaktu menyampaikan ilmu kepada keluarga, sahabat atau masyarakatnya. Sebagaimana murabbi akan menyebut nama gurunya kepada si murid sewaktu berta'alim dan mentarbiyah. Guru murabbi pula akan menyebut nama gurunya kepada murabbi sewaktu murabbi menjadi muridnya. Dan begitulah rantaian rawi ilmu guru-guru atau murabbi sehinggalah ianya bersambung kepada tabiin kemudian bersambung kepada sahabat dan seterusnya kepada Rasulullah SAW. Dan Rasulullah SAW dididik sendiri oleh Allah SWT. Begitulah rantaian ilmu yang berkat yang memudahkan murid untuk beramal, bagaikan rantaian perawi hadis yang meriwayatkan hadis yang akhirnya bersambung kepada Rasulullah SAW.

Maka tidak hairanlah, Imam Asy Syafie sering menyebut nama gurunya, Imam Maliki dalam tarbiyah kepada muridnya. Muhammad Al Fateh menyebut nama gurunya, Shiekh Shamsudin Wali kepada tenteranya.

Malangnya, kini istilah bai'ah dan murabbi sudah tidak diguna pakai. Malah ilmu yang barokah yang mempunyai rantaian yang bersambung dengan Rasulullah SAW juga tidak diendah. Orang Islam era modern dan cyber, lebih senang membeli buku dan membacanya. Bagi mereka "INILAH CARA TERMUDAH MENIMBA ILMU". Mereka mampu memiliki ilmu, tetapi tidak mampu beramal. Lihat saja kepada mereka, nak amalkan sunnah berserban dalam solat pun masih tidak mampu sedangkan serban adalah mahkota Rasulullah SAW.

Maka lahirlah perjuangan Islam hanya berkisar dalam kepala dan berteori. Ilmu agama dibelajar dan ditafsirkan berdasarkan akal yang lemah, jumud dan tidak global. Ceduk sana sedikit, sini sedikit. Fatwa bukan lagi bersumberkan Al Quran, Sunnah atau ijtihad para ulamak, sebaliknya dari kepala otak si jumud. Maka tidak hairanlah ada di antara orang yang mengaku pejuang Islam berpandukan "pada pandangan saya.....", "pada hemat saya .... " dalam berfatwa dan membuat hukum. Fatwa yang telah dibuat oleh ulamak mujtahidin ditolak tepi dan diusahakan pendapat-pendapat para Imam dan ulamak modern untuk mensesuaikan dengan pandangan nafsu dan peribadinya.

Sebagai contoh, saya pernah terbaca komen seorang yang mengaku kononnya alim dan ahli agama, menolak fatwa dan pandangan yang jelas dan mutlak oleh Hassan Al Basri, Imam Al Ghazali, Al Qarafi, Al Syatibi, Imam Nawawi, Ibnul Qayyim yang dibawa oleh seseorang dengan menggunakan pandangan seorang ulamak modern. Dia menolak atas alasan orang yang berhujjah hanya "copy & paste" kata-kata ulamak mujtahidin tersebut dan belum tentu apa yang tulis oleh ulamak muktabar sama dengan apa yang di "copy and paste". Yang paling melucukan, si ustaz celup itu pun copy & paste tafsir ulamak modern tersebut. Siap guna tafsir dalam bahasa inggeris lagi. Ampun maaf kalau saya katakan, orang yang sebeginilah yang hanya pandai cakap-cakap kosong tetapi menjadi syaitan bisu bila berhadapan dengan maksiat.

Jadi perangai "cakap tara serupa bikin" dan sikap "yahudi yang mengaku Islam" nampaknya masih berleluasa di kalangan penganut agama "Islam Chatting". Manusia-manusia sebeginilah yang merasa gusar apabila ada pihak melakukan makrufat dan berdakwah. Mereka jugalah yang menyerang orang yang membuat makrufat atas alasan kononnya "tidak berhikmah" seolah-olah tindakannya yang menjadi syaitan bisu membiarkan sahaja rakan-rakan sekandang dengannya membuat maksiat tak kira masa walaupun di bulan puasa adalah sesuatu yang "amat berhikmah". Istilah "hikmah" dipersempitkan dan dihadkan. Mengapa ? Kerana ada kepentingan nafsu dan duniawi. Kerana sedar dirinya banyak kelemahan dan takut kelemahan terserlah dan hilang kepopularitian dan glamour. Manusia sebeginilah yang menzahirkan Islam dan menyembunyikan kekufuran. Atau istilah lainnya, merekalah golongan munafik laknatullah. Golongan munafik wajiblah diperangi kerana tempat mereka lebih hina dari tempat golongan musyrik di dalam neraka jahanam.

Inilah antara contoh-contoh yang nyata yang boleh kita lihat di chat room, portal dan group yang mengaku Islam.

Semoga Ramadhan 1427H dan artikel ringkas yang panjang ini meberi kesedaran kepada kita, betapa pentingnya adab antara murid dan murabbinya agar ilmu yang diperolehi mempunyai keberkatan dan mempunyai rantaian hingga kepada Rasulullah SAW. Semoga sisa-sisa Ramadhan 1427H ini kita jadikan peluang dan ambil kesempatan untuk memperbaiki diri kita agar esok merupakan hari yang lebih baik buat kita berbanding hari-hari yang telah berlalu.


Pejuang penuh kepayahan, dalam kepayahan ada ketenangan. Yang tidak berjuang, kurang kepayahan tetapi tiada ketenangan